Terengganu, TNB Genco Meterai Perjanjian Optimum Sumber Hidro
KUALA TERENGGANU, 9 Februari – Meskipun berusia tujuh tahun, seorang murid Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) Al-Furqan, Chendering berjaya melakar sejarah tersendiri apabila merangkul gelaran Juara Dunia pada Pertandingan Pidato Bahasa Inggeris Kanak-kanak dan Belia Antarabangsa Kali Ke-63 baru-baru ini.
Kejayaan luar biasa Amatullah Hamidah Muhammad Luqman Al Hakim menjadi bualan ramai bukan sahaja mengharumkan nama negara, malah membuka mata dunia terhadap bakat luar biasa kanak-kanak PASTI Malaysia.
Anak sulung daripada dua beradik ini walaupun hanya sempat membuat persiapan dalam tempoh seminggu, namun kepetahannya dalam bersajak berjaya menawan hati juri, dan menewaskan 25 peserta dari enam negara lain.
Pertandingan tersebut dianjurkan oleh Global Arts, Sports and Culture dan berlangsung di Hong Kong pada 23 Januari lepas.
Berkongsi cerita, ibunya, Hasmah Darwis, 31, berkata, amalan membaca dan menghafal ayat suci al-Quran pada setiap hari adalah antara resipi kejayaan yang diterapkan sejak kecil.
"Sejak Amatullah Hamidah kecil, saya dan suami, Muhammad Luqman Al-Hakim, 32, sentiasa mengalunkan zikir selain mengajar anak membaca al-Quran bagi mencerdaskan dan memiliki fikiran yang tenang supaya mudah menerima ilmu.
"Menghafal ayat suci al-Quran salah satu kunci kejayaan untuk anak-anak ini memiliki daya ingatan kuat serta mengukuhkan kefahaman tentang sesuatu perkara.
"Alhamdulillah, amalan yang sentiasa diterapkan itu membantu kejayaan anak saya dalam menunjukkan bakat dan potensi berpidato dalam Bahasa Inggeris dengan cemerlang sekali gus mengharumkan nama negara apabila memenangi pertandingan pidato Bahasa Inggeris ini," katanya kepada pemberita.
Menurut Hasmah , Amatullah Hamidah seorang anak yang menunjukkan kesungguhan dan gigih setiap kali berlatih turut menyumbang kepada kejayaannya.
"Saya dan suami sentiasa memberi sokongan dan semangat kepada Amatullah Hamidah untuk berlatih.Setiap hari dia akan meluangkan masa selama setengah jam untuk berlatih berpidato.
"Malah kami akan belanja dia makan dan membawa ke tempat yang menarik seperti pantai sebagai tanda menghargai kesungguhan dirinya berlatih sekali gus tanda penghargaan dan sokongan ibu bapa kepada anak-anak dalam melakukan sesuatu perkara " jelasnya.
Selain itu, dia dan suami juga menghadkan penggunaan telefon bimbit agar mereka tidak terlalu leka selain menerapkan amalan dan ajaran yang baik kepada Amatullah Hamidah bersama adiknya, Amatullah Habibah, 6, dari sejak kecil.
"Kami juga selalu membawa anak-anak ke majlis ilmu seperti ceramah agama bagi memastikan mereka berpeluang mendapat ilmu agama daripada para ulama sekali gus memupuk rasa cinta pada agama dan ibadah," ujarnya.
Justeru, Hasmah berkata, kejayaan anaknya itu dapat menjadi inspirasi kepada seluruh masyarakat dan murid Pasti dari seluruh negara supaya berani mencabar diri dalam menonjolkan bakat masing-masing.
Sebelum ini, kejayaan Amatullah Hamidah turut mendapat perhatian Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar yang turut memuat naik hantaran ucapan tahniah di laman Facebook rasminya.
"Saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada anakanda Amatullah Hamidah Muhammad Luqman atas kejayaan gemilang memenangi tempat pertama dalam 63rd GASCA International English Recitation Competition.
"Kejayaan ini bukan sahaja membanggakan keluarga tetapi juga menjadi inspirasi kepada seluruh rakyat Terengganu dan pelajar PASTI dari seluruh Malaysia. Kemampuan anakanda Amatullah untuk bersaing di peringkat antarabangsa menunjukkan bakat dan potensi anak-anak Terengganu yang luar biasa.
"Semoga pencapaian ini menjadi pemangkin kepada lebih ramai anak-anak untuk terus berusaha cemerlang dalam apa jua bidang yang diceburi. Kerajaan Negeri Terengganu sentiasa komited menyokong generasi muda yang berani mencabar diri menonjolkan bakat masing-masing serta membanggakan negeri," katanya.