• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Mimpi Piala FA Tak Jadi Realiti

KUALA LUMPUR, 10 September - Impian Terengganu FC dan seluruh rakyat negeri itu untuk menoktahkan kemarau piala berkecai apabila Sang Penyu tewas 1-3 kepada Johor DT dalam perlawanan akhir Piala FA 2022, sebentar tadi.

Dalam aksi di Stadium Nasional Bukit Jalil, Terengganu FC turun tanpa kelibat penyerang, Kpah Sherman yang terpaksa diketepikan kerana peraturan pemain import.

Sebaliknya, pengendali Terengganu FC, Nafuzi mempertaruhkan pengalaman Tcheche Kipre di bahagian depan dibantu Faisal Halim dan Faiz Nasir selain diperkuatkan tiga rangkaian jentera tengah iaitu Habib Haroon, Petrus Shitembi dan Manuel Ott.

Sebaik wisel permulaan ditiupkan, Johor DT menunjukkan kredibiliti mereka sebagai pasukan terbaik dalam negara dengan menguasai bola di kawasan tengah.

Dalam tempoh 15 minit pertama, Terengganu FC tidak berjaya mengungguli bahagian tengah dan lebih banyak menerima asakan daripada jentera lawan.

Pada minit ke-10, pemain sayap Johor DT, Arif Aiman Mohd Hanapi yang menerima lorongan daripada Leandro Velasquez menguji penjaga gol, Rahadiazli Rahalim namun rembatannya diselamatkan tiang gol.

Terengganu FC berpeluang memecahkan kebuntuan gol selepas serangan balas dimulakan Rahadiazli pada minit ke-24 membolehkan Kipre berdepan satu lawan satu dengan Farizal Marlias, tetapi tidak berjaya disudahkan dengan baik.

10 minit kemudian, Johor DT berhasil melakukan serangan balas dimulakan dengan lontaran ke dalam Corbin Ong yang kemudian dilorongkan kepada Arif.

Pemain sayap kebangsaan itu menggelecek pertahanan Terengganu FC sebelum menewaskan Rahadiazli dengan rembatan kencang untuk Johor DT selesa di hadapan pada minit ke-34.

Seminit sebelum masa pertama tamat, Terengganu FC sekali lagi memperoleh peluang besar untuk mencetak gol selepas  Shitembi berjaya masuk ke dalam kotak penalti berdepan Farizal, tetapi beliau lebih memilih untuk tidak merembat ke gawang yang terbuka dan berjaya digagalkan pertahanan lawan.

Bersambung babak kedua, Terengganu FC cuba meningkatkan rentak permainannya bagaimanapun tidak berjaya mencipta penyudah ke arah gawang.

Pada minit ke-60, kesilapan pertahanan memaksa Rahadiazli menjatuhkan Bergson Da Silva dan menghadiahkan penalti kepada Johor DT.

Harimau Selatan berjaya menjarakkan kedudukan kepada dua gol hasil jaringan Bergson.

Sang Penyu bangkit merapatkan kedudukan pada minit ke -75 hasil gerakan Faisal dan Kipre dari sisi kanan gawang Johor DT sebelum rembatan Kipre terbias pada badan Farizal dan menggegar gawang.

Kebangkitan Terengganu FC tidak bertahan lama.

Tiga minit kemudian Johor DT kembali meledak jaringan, Mohamadou Sumareh yang masuk menggantikan Arif Aiman pada minit ke -76 menewaskan Rahadiazli dan mencipta lorongan untuk disudahkan Bergson bagi gol kedua peribadinya malam ini sekaligus kembali menjarakkan kedudukan.

Terengganu FC terus melakukan serangan tetapi tidak berjaya menambah jaringan sehingga perlawanan ditamatkan.

Kegagalan Terengganu FC menyaingi kehebatan Johor DT menyaksikan pasukan itu meneruskan kemarau piala dan perlu kembali memusatkan perhatian pada saingan Liga Super Malaysia 2022 untuk menempah harapan ke Asia.


Tag: