• 27 Apr 2024 | 18 Syawal 1445

KUALA TERENGGANU, 17 Februari- Pengendali Terengganu FC, Tomislav Steinbruckner tidak menolak kemungkinan menambah pemain import dalam pasukannya selepas tular kelab berkenaan melepaskan pemain kebangsaan Filipina, Luke Zantua Woodland dengan persetujuan bersama, baru-baru ini. 

Namun menurutnya, perkara itu bergantung kepada kemampuan pasukan pemantau bakat Terengganu FC berdepan kekangan masa dalam jendela perpindahan kali ini.

"Kini kami ada masa beberapa hari lagi, masa yang singkat untuk memilih beberapa pemain, mungkin pemain kuota asean dan pemantau bakat kami perlu bertindak pantas untuk membawa seseorang ke sini.

 "Saya harap saya sentiasa ada seseorang (pemain pilihan) tetapi, ia terlalu sukar untuk membawa pemain dari Eropah tambahan pula, pemain-pemain yang bagus sudah ada kontrak, mungkin kita akan tunggu tengah atau hujung musim.

Pada Jun (jendela perpindahan kedua) nanti, kami perlu meneliti dan boleh membuat analisis dalam masa beberapa bulan ini sebelum kami memutuskan untuk menambah atau membawa pemain baru," katanya ketika ditemui pemberita selepas Black and White Day Terengganu Football Club 2023 di Dataran Shahbandar, hari ini.

Dalam majlis yang disempurnakan Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar itu, Terengganu FC melancarkan jersi utama berwarna putih bertemakan Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin sebagai 'kubu keramat' pasukan serta jersi kedua berwarna hijau membawa tema sosio ekonomi utama negeri Terengganu iaitu perlombongan petroleum.

Kedua-dua jersi berkenaan dijual pada harga RM129 dengan jualan bermula hari ini. 

 

 


Tag: