• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

'Siasat Segera Pembelian Bas Amfibia, Aktiviti Sogok Pengundi'

KUALA TERENGGANU, 10 Ogos - Beberapa laporan telah dibuat kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi meminta siasatan dilakukan terhadap isu sogokan pengundi dan salah guna kuasa kerajaan dahulu.

Pengadu yang juga merupakan Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Negeri Terengganu (DPPNT), Muhammad Irsyad Syafiq Burhanuddin berkata kesemua laporan itu dibuat di Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kira-kira jam 11 pagi, khamis hari ini.

“Laporan pertama berkenaan calon daripada Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ladang yang melakukan tindakan berunsur sogokan kepada pengundi.

“Sogokan tersebut dipercayai berlaku ketika aktiviti berkempen Pilihan Raya Umum (PRU) Negeri dan pada hari pengundian awal, 8 Ogos lepas.

"Laporan itu dibuat kerana merasakan telah berlaku ketidakadilan dalam proses kempen, selain calon didakwa telah melanggar peraturan yang digariskan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR)," jelasnya.

Dia berkata demikian kepada pemberita bertempat di luar pekarangan pejabat SPRM, Kuala Terengganu di sini hari ini.

Tambah Irsyad, beliau meminta siasatan dilakukan segera supaya rakyat tahu adakah perkara ini benar-benar berlaku.

"Sekiranya berlaku, maka ia amat memalukan negara kita kerana perkara ini sering disebut oleh Perdana Menteri kita sendiri dari sudut tatakelola melawan rasuah sehabisnya.

"Isu tersebut tidak sepatutnya berlaku terutama daripada calon yang bertanding atas tiket BN di Ladang," katanya.

Menurut Muhammad Irsyad, laporan kedua adalah berkenaan bas dua alam yang telah dibeli oleh Kerajaan negeri Terengganu pada tahun 2014.

"Terdapat maklumat baharu kita dapati ada beberapa keraguan berkaitan pelantikan kontraktor yang bertanggungjawab membeli bas tersebut iaitu syarikat Alam Perkasa Teknologi Sdn Bhd.

"Untuk makluman, syarikat tersebut merupakan syarikat yang ditubuhkan pada tahun 2014 iaitu pada tahun yang sama ketika bas dua alam dibeli oleh kerajaan negeri waktu itu.

"Ia menimbulkan keraguan kerana pendaftaran dibuat pada bulan 3 tetapi mereka telah menerima proposal daripada syarikat itu pada bulan Februari lagi.

"Sedangkan syarikat tersebut belum didaftarkan lagi pada bulan Februari dan bagaimana syarikat itu boleh menghantar proposal kepada kerajaan negeri dan diluluskan oleh MMKN," katanya.

Selain itu, perbincangan untuk membeli bas dua alam ini melibatkan Jabatan Kerja Raya (JKR) cawangan kejuruteraan Mekanikal, Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) Terengganu dan Pengarah JKR Negeri Terengganu.

"Kesemua mereka sama-sama terlibat dalam persetujuan pembelian bas dua alam tersebut.

"SPRM perlu siasat dengan teliti kerana pada bulan Disember 2018, JKR dan Jabatan Laut Negeri Terengganu mengesyorkan supaya bas ini tidak dioperasikan kerana tidak layak untuk berlayar," ujarnya.

Dia berkata, macamana pada tahun 2014 bersetuju untuk membeli bersama MMKN tetapi pada tahun 2018 setelah kerajaan berubah timbul berlainan keputusan.

"Minta siasat juga dalang syarikat Alam Perkasa Teknologi Sdn Bhd yang hanya ditubuhkan pada tahun yang sama pembelian Bas dua alam ini.

"Kerana terdapat unsur-unsur sogokan sehingga terdapat tender RM3 juta lebih oleh Kerajaan Negeri.

"Suatu jumlah yang besar jumlah dan tidak sepatutnya diberi kepada syarikat yang tidak sampai setahun.

"Sampai hari ini juga, status bas dua alam masih lagi belum diserahkan kepada Kerajaan Negeri kerana masalah tertentu," ujarnya.

 


Tag: