• 27 Apr 2024 | 18 Syawal 1445

Siasatan Masalah Air Siap Pertengahan September Depan

KUALA TERENGGANU, 30 Ogos - Jawatankuasa khas siasatan punca kerosakan paip di dasar Sungai Terengganu akan menyerahkan hasil siasatan krisis air berkenaan kepada Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri pada pertengahan September ini.

Pengerusinya, Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak berkata, ketika ini pihaknya sedang mengumpul maklumat berkaitan kejadian berkenaan.

"Siasatan sedang berjalan, kita sedang kumpul semua dokumen dan laporan berkaitan yang ada di jabatan-jabatan kerajaan dan juga maklumat dari orang ramai.

"Oleh itu, sesiapa yang ada maklumat yang khusus, boleh berhubung dengan Unit Perancang Ekonomi Negeri Terengganu (UPEN) untuk berkongsi maklumat berkaitan.

"Kita siasat daripada semua aspek termasuk dakwaan aktiviti menyedut pasir dan juga faktor semula jadi.

"Setakat ini jawatankuasa siasatan tidak mengekang daripada siasat satu sudut sahaja, kita masih terbuka dengan semua maklumat dan pandangan dari semua pihak," katanya ketika ditemui pemberita pada Program Kibar Jalur Gemilang di Jambatan Angkat (Drawbridge) di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Tun Ahmad Faisal yang juga Pengarah UPEN berkata, jawatankuasa siasatan itu sudah bermesyuarat sebanyak tiga kali setakat ini.

"Jawatankuasa siasatan terdiri daripada 12 individu dari beberapa jabatan dan agensi seperti Jabatan Alam Sekitar (JAS), Pejabat Tanah dan Galian (PTG), Jabatan Bekalan Air, Jabatan Pengairan dan Saliran, Syarikat Air Terengganu Sdn Bhd, dan Pejabat Daerah Kuala Terengganu," katanya.


Tag: