• 27 Apr 2024 | 18 Syawal 1445

SIDANG DUN: 14,225 Unit Program Perumahan Rakyat (PPR) Siap Dibina


Kerajaan negeri menjangkakan lebih 22,000 unit Program Perumahan Rakyat (PPR) di Terengganu dapat  disiapkan menjelang akhir 2018.

Menteri Besar, Ahmad Razif Abd Rahman berkata, sehingga kini, sebanyak 14,225 unit PPR sudah siap dan diduduki pemilik rumah.

“Manakala 6,700 unit rumah dijangka siap menjelang akhir tahun depan dan  selebihnya iaitu sejumlah 1,400 unit rumah lagi, dijangka siap akhir  2018.

“Apa yang dilaksanakan ini merupakan kejayaan  dan  hasil terbaik seperti dalam perancangan Bajet Negeri 2016,”  katanya ketika menjawab soalan Dato’ Sabri Mohd Nor (BN-Langkap), pada Persidangan Dewan Undangan Negeri, Wisma Darul Iman, hari ini.

Katanya, kejayaan lain yang direkodkan kerajaan termasuk pengagihan bantuan persekolahan sebanyak RM100 kepada 100,000 pelajar berkelayakan yang melibatkan peruntukan  RM10 juta.

“Manakala RM50 juta disediakan untuk 200,000 penerima Dana Bantuan Raya dan  Dana Bakti Remaja (RM22 juta kepada 100,000 penerima)  dan mewujudkan Pejabat Tabung Darul Iman yang mampu memberi manfaat kepada ribuan pesakit,”katanya.

Dato’ Sabri Mohd Nor (BN-Langkap)

Menurutnya, sempena kempen Tahun Melawat Terengganu (TMT) 2017, pada awal tahun ini,   kerajaan negeri memperkasakan pelbagai produk Terengganu, termasuk T-Kitchen, T-Cafe, T-Lekor dan T-Mart.

“Melalui projek T-Mart yang mempromosikan pelbagai produk Industri Kecil Sederhana (IKS), berjaya menebusi pasaran luar Terengganu.

“Lebih membanggakan,  produk keropok lekor dan nasi dagang sejuk beku kini laris di pasaran Singapura dan Kota London,” katanya.

Katanya, pengusaha restoran di negara itu, kerap kali menempah kedua-dua produk itu dalam kuantiti yang banyak.

“Melihat perkembangan positif itu, saya bercadang mahu kembangkan pasaran produk sama ke Mekah dan Jeddah pada masa akan datang,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Dato’ Sabri.

Tag: