• 19 Apr 2024 | 10 Syawal 1445

Sidang DUN : 40 Ekar Untuk Penternak Ikan

KUALA TERENGGANU, 25 November – Terengganu menyediakan kawasan kira-kira 40 ekar di Bukit Keluang, Besut dan Laguna, Setiu bagi menyelesaikan isu pembinaan kolam dan sangkar ternakan ikan tasik secara haram dalam kawasan tanah milik kerajaan negeri.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, kerajaan negeri mahu menyelesaikan hal ini dalam keadaan harmoni dan bukannya untuk menghukum rakyat.

“Kepada pegusaha dan penternak yang terlibat boleh memohon Lesen Menduduki Sementara (LMS), manfaat wang yang ada dalam dasar ini, syarat-syarat tertakluk kepada pandangan jabatan teknikal seperti Jabatan Pengairan dan Saliran, Jabatan Alam Sekitar dan Jabatan Perikanan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soal lisan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Burok, Muhammad Khalil Abdul Hadi di Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri Keempat Belas (Bajet), hari ini.

Dr Azman turut memberitahu, berdasarkan rekod terdapat 1,037 sangkar di Terengganu.

"Yang ada kelulusan LMS 180 sangkar, 48 sangkar LMS tamat tempoh dan sebanyak 674 sangkar masih dalam proses kelulusan," jelasnya.

Katanya, kerajaan terpaksa bertindak tegas sekiranya berlaku lagi percebohan tanah milik kerajaan bagi menjaga kepentingan bersama.

“Mereka boleh dikenakan denda tidak melebihi RM400,000 dan penjara kurang dari  5 tahun,” katanya

 


Tag: