• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

Sidang DUN : Bayaran Pembangunan Pusat Pentadbiran Daerah Kuala Nerus Secara Berjadual Dengan Had


Kaedah pembayaran projek Pembangunan Pusat Pentadbiran Daerah Kuala Nerus adalah secara Bayaran Berjadual Dengan Had.

Menteri Besar, Dato' Seri Ahmad Razif Abd Rahman berkata, bayaran bukan dilakukan secara 'deferred payment' seperti yang dikatakan oleh Hishamuddin Abdul Karim (Pas-Tepoh).

Katanya, cara pembayaran yang dinyatakan wakil pembangkang itu mempunyai perbezaan sangat besar.

"Kos pembangunan pusat pentadbiran ini adalah sebanyak RM600 juta, tanpa sebarang faedah.

"Saya juga sudah jelaskan yang bayaran akan dibuat dengan had, sebanyak RM70 juta setahun sehingga selesai pada tahun 2024 iaitu selama lapan tahun dan enam bulan," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sesi penggulungan persidangan penggal kelima Dewan Undangan Negeri Ke13 di Wisma Darul Iman, hari ini.

Tambahnya, cadangan penubuhan daerah baharu Kuala Nerus merupakan cadangan yang sudah lama dirancang.

"Ianya sudah wujud sebelum zaman Pas memerintah Terengganu lagi.

"Tetapi keperluannya semakin mendesak berikutan pertambahan penduduk yang mendadak dan perkembangan ekonomi yang pesat di daerah tersebut," katanya.

Tag: