• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Sidang DUN : Empat Peratus Murid Terengganu Tercicir

KUALA TERENGGANU, 14 September - Seramai 7,629 murid atau empat peratus daripada golongan B40 di Terengganu dikategorikan sebagai tercicir atau tidak mengikuti mana-mana sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) sehingga Julai 2021.

Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Satiful Bahri Mamat berkata, perkara berkenaan diambil serius oleh kerajaan negeri dengan beberapa tindakan telah dijalankan pihak sekolah.

"Perkara ini telah diambil tindakan oleh pihak sekolah dengan mengadakan kunjungan atau panggilan telefon kepada keluarga murid-murid berkenaan.

"Di mana Terengganu mempunyai seramai 174,510 murid dari golongan B40 dan bagi bulan Julai 2021, jumlah murid B40 yang mengikuti PdPR adalah seramai 166,881 (96 peratus).

"Berlaku keciciran bagi empat peratus lagi murid kita. Istilah cicir di sini bermaksud mereka tidak ikuti mana-mana sesi PdPR pada tempoh tersebut," katanya menjawab soalan bertulis Dato' Seri Ahmad Razif Abdul Rahman (BN-Seberang Takir) pada Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri Ke-14, hari ini.

Menurut Satiful, bagi memastikan PdPR diikuti oleh semua pelajar di Terengganu, Kerajaan Negeri Terengganu telah menyediakan 20 Pusat Internet Akses Rakyat (Pintar) bagi kemudahan pelajar untuk mengikuti PdPR secara percuma.

"Pusat ini menawarkan kemudahan komputer dan akses kepada internet. Untuk meningkatkan inklusiviti dan kesejahteraan rakyat, kerajaan telah memberi keutamaan dalam bantuan sosial dalam pendidikan khususnya bagi kumpulan B40.

"Antara bantuan yang diberi keutamaan bagi golongan tersebut yang melibatkan pendidikan adalah bantuan peranti, komputer, tablet kepada murid sekolah rendah dan sekolah menengah.

"Pihak Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT) terlibat dalam memastikan pembekalan peranti digital kepada murid B40 melalui inisiatif CERDIK.

"Ia merupakan pinjaman kepada penerima yang terdiri daripada murid B40 di kalangan murid Tingkatan 3 dan Tahun 4 di Sekolah Kerajaan dan Sekolah Bantuan Kerajaan serta data sekolah dan penerima diperoleh dari Bahagian Pengurusan Maklumat, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM)," jelasnya.

Sementara itu, katanya, pihak JPNT turut membangunkan satu sistem pelaporan bagi memantau pelibatan pelajar dalam PdPR.

"Tiga kaedah utama PdPR dilaksanakan iaitu PdPR secara dalam talian (online) sepenuhnya, PdPR secara luar talian (offline) seperti edaran bahan bercetak (modul) terutama untuk murid yang tiada peranti dan akses internet serta gabungan PdPR secara dalam talian dan luar talian," jelasnya.

Mengulas lanjut, tambahnya, libat urus dengan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) yang dilaksanakan oleh semua Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Terengganu juga membantu memberi penerangan tentang PdPR.

"Juga membuka ruang kepada mereka untuk memberi bantuan khususnya dalam menjejaki murid-murid yang gagal ikuti PdPR agar mereka tidak tercicir," ujarnya.


Tag: