• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Sidang DUN : Jawatankuasa Khas Kurangkan Kadar Pengangguran

KUALA TERENGGANU, 14 September - Kerajaan negeri melalui Urus Setia Pekerjaan negeri terus giat mewujudkan pelbagai peluang pekerjaan di negeri ini bagi mengurangkan kadar pengangguran yang berlaku terutamanya dalam tempoh dua tahun ini ekoran pandemik Covid-19.

Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan, Perindustrian, Pembangunan Wilayah dan Kesejahteraan Pentadbiran negeri, Dato' Tengku Hassan Tengku Omar, berkata jawatankuasa khas itu telah ditubuhkan secara khusus bagi menangani permasalahan berkenaan.

"Jadi ini adalah salah satu cara bagaimana kita mengatasi masalah ini di Terengganu, yang mana terdapat 30 jabatan dan agensi yang bernaung di bawah Urus Setia Pekerjaan Negeri Terengganu ini yang juga di bawahnya ada Pusat Pembangunan Sumber Manusia Terengganu (THRDC) yang telah dapat menempatkan perkejaan pada tahun 2019 sebanyak 10,122 orang.

"Pada 2020 sebanyak 3,487 dan sehingga 31 Julai (pula) berjaya menempatkan 4,811 orang melalui Karnival Kerjaya yang diadakan pada 3 sehingga 4 April 2021 baru-baru ini yang pertama diadakan secara fizikal memandangkan kadar pengangguran semakin meningkat.

"Terutamanya di kalangan belia, serta usaha terbaharu adalah melalui sebuah syarikat dari negeri Selangor yang memerlukan 800 pekerja dengan kadar segera." ujarnya ketika ditemui pihak media pada Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri ke-14, di sini, hari ini.

Beliau berkata, pandemik yang berlaku juga telah menyebabkan usaha-usaha kerajaan mewujudkan peluang-peluang pekerjaan mengalami sedikit kesulitan.

Dalam memulihkan kembali kehidupan rakyat katanya, kerajaan juga akan turut membantu kalangan mereka yang kehilangan pekerjaan.

"Kita (akan) gerakkan semula ekonomi negeri, di mana pembangunan perlu dipastikan terus berjalan melalui pembikinan kerja-kerja kecil, kerja-kerja menyelenggara itu akan kita gerakkan semula dan mereka ada peluang untuk mendapatkan pekerjaan daripada sumber yang ada.

"Sekarang ini sememangnya kerajaan memberi peruntukkan kepada semua Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk mereka laksanakan projek-projek kecil dan saya harapkan ia memberikan peluang untuk mereka mendapatkan sedikit pendapatan daripada projek tersebut khususnya daripada pejabat-pejabat daerah," ujarnya.

 


Tag: