• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Sidang DUN: Kadar Pengangguran Terengganu Masih Rendah

KUALA TERENGGANU, 25 November- Kadar pengangguran di Terengganu masih rendah jika dibandingkan dengan kadar penganguran Malaysia.

Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman berkata, pada tahun 2018 kadar pengangguran di Terengganu adalah 4.8 peratus.

"Kemudian pada tahun 2019 terus menurun kepada 3.5 peratus dan suku pertama tahun ini 3.3 peratus, lebih rendah daripada kadar pengangguran Malaysia iaitu 3.5 peratus.

"Bagaimanapun akibat  berdepan penularan wabak COVID-19 pada Suku Kedua 2020, kadar pengangguran Terengganu meningkat kepada 3.8 peratus, tetapi masih lebih rendah daripada kadar pengangguran Malaysia iaitu 5.1peratus," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soal lisan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Manir, Hilmi Harun di Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri Keempat Belas (Bajet), di Wisma Darul Iman, hari ini.

Katanya, ia adalah petanda Terengganu sedang menuju ke satu arah yang betul dan kerajaan akan terus menggembleng tenaga berkolaborasi dengan pelbagai pemegang taruh dalam sektor pekerjaan.

"Ini bagi memastikan rakyat Terengganu dapat menikmati pembangunan dalam bentuk peluang pekerjaan yang baik," jelasnya.

Sementara itu katanya, kerajaan negeri melalui Pusat Pembangunan Sumber Manusia Negeri Terengganu (T-HRDC) telah mengadakan kolaborasi erat bersama Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) Negeri Terengganu bagi membantu rakyat yang kehilangan pekerjaan ekoran COVID-19.

"T-HRDC juga membantu majikan mendapatkan pelbagai insentif  Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) bagi membolehkan mereka mengambil pekerja baru disamping mengelak mereka daripada membuang pekerja sedia ada.

“Selain membantu institusi latihan mendapatkan penempatan kerja dan dana latihan melalui kerjasama dengan majikan dan persatuan industri,” ujarnya.

Menurut beliau, setakat ini kerajaan negeri melalui T-HRDC telah menjalinkan kolaborasi dengan lebih 20 agensi antaranya PERKESO, Jabatan Tenaga Kerja, Jobs Msia, Jabatan Statistik Malaysia, UC TATI, TESDEC,  KKYT, Universiti Malaysia Terengganu, Universiti Sultan Zainal Abidin, Terengganu Timber Industry Training Centre (TTITC) serta Terengganu O&G Council ( TOGC).

Katanya, sebanyak 500 peluang pekerjaan juga telah dikenal pasti melalui program penempatan pekerjaan yang dijalankan.

"Di mana T-HRDC telah menemui sendiri majikan-majikan yang memerlukan pekerja dan berunding agar mengambil anak-anak Terengganu sebagai pekerja," tambah beliau.