KUALA TERENGGANU, 25 November – Terengganu terus mengorak langkah ke hadapan dalam memartabat dan melancarkan penyaluran maklumat kepada golongan Orang Kurang Upaya (OKU) apabila jurubahasa isyarat digunakan dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN).
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd Nor Hamzah berkata, buat pertama kalinya siaran langsung persidangan itu menggunakan khidmat jurubahasa isyarat melalui Persatuan Orang Pekak Terengganu (POPT).
“Pembaharuan yang bermula hari ini itu disifatkan satu sejarah kepada golongan OKU di negeri ini bagi membolehkan mereka mengikuti perkembangan persidangan negeri secara langsung.
"Buat masa ini jurubahasa isyarat ini akan bersama siaran selama tiga jam melalui siaran langsung di TV Darul Iman bermula jam 9.30 pagi sehingga 12.30 tengah hari, selepas ini insya-Allah kita akan gunakan mereka," katanya ketika dihubungi Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) hari ini.
Sementara itu, Presiden POPT, Tengku Arman Haris Tengku Ismail berkata, pihaknya mengalu-alukan sebarang kerjasama dengan kerajaan negeri bagi memudahkan golongan OKU pekak dan bisu mengikuti isu terkini negeri
“Supaya kami tahu apa yang berlaku dalam negeri Terengganu kerana daripada kami ada yang tidak mampu membaca, yang pasti semua kami tidak boleh mendengar.
“Jadi, inisaitif ini adalah yang pertama kali diadakan di Terengganu membuatkan kami rasa sangat gembira, teruja dan dihargai, dalam masa yang sama kami boleh menyumbang untuk kemajuan Terengganu
“Terima kasih kerajaan negeri kerana memanfaatkan kami, kami juga mahu hidup sama taraf seperti masyarakat normal lain,” tambahnya.