• 20 Apr 2024 | 11 Syawal 1445

Sidang DUN: Landasan Kapal Terbang Di Pulau Redang Akan Diperbesarkan



Kerajaan negeri merancang untuk memanjangkan landasan kapal terbang di Pulau Redang bagi menampung kedatangan lebih ramai pelancong ke pulau itu serta pulau peranginan lain di Terengganu walaupun pada musim monsun.

Menteri Besar, Ahmad Razif Abd Rahman, berkata pihaknya sudah membuat  permohonan rasmi berkaitan perkara berkenaan kepada Kerajaan Pusat melalui Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC).

Katanya, sekumpulan teknikal sudah datang melihat perkara itu dan kini sedang merancang bagaimana untuk membesarkan dan memanjangkan landasan kapal terbang di pulau itu.

“Sekiranya kemudahan itu dapat dipanjang dan diperbesarkan ia akan membolehkan kapal terbang yang lebih besar dengan membawa lebih ramai pengunjung, termasuk pelancongan asing ke pulau di negeri ini.


“Dalam setahun, sekurang-kurangnya  empat bulan pulau-pulau di Terengganu terpaksa di tutup kerana bot dan kapal pelancong tidak dapat beroperasi akibat musim monsun,” katanya.

Ahmad Razif yang juga Pengerusi Jawatankuasa Perancang, Kewangan dan Pelaburan, Tanah, Petroleum, Sumber Asli, Pelancongan dan Kebudayaan Negeri berkata demikian ketika menjawab soalan Azan Ismail (PKR-Bandar)  pada Persidangan Dewan Undangan Negeri, hari ini.

Menurutnya, kerajaan negeri melihat projek itu amat penting dan perlu direalisasikan supaya kedatangan pengunjung dari dalam dan luar negara ke pulau berlaku sepanjang tahun.

“Pada masa yang sama, ia juga mampu merancakkan lagi perkhidmatan bot dan kapal pelancong ke pulau berdekatan, termasuk Pulau Perhentian, Pulau Lang Tengah, Pulau Bidong,”katanya.









Tag: