• 20 Apr 2024 | 11 Syawal 1445

SIDANG DUN : Operasi Penguatkuasaan Jenayah Syariah Dipergiat

KUALA TERENGGANU, 15 November - Kerajaan negeri melalui Bahagian Penguatkuasaan Syariah Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) akan mempergiatkan operasi penguatkuasaan jenayah syariah bagi membasmi gejala terbabit di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Satiful Bahari Mamat, berkata sebelum ini operasi telah diadakan seluruh negeri seperti di hotel dan rumah penginapan, pantai, pulau peranginan, pusat hiburan, pawagam dan juga di tempat yang dikenal pasti sebagai kawasan panas.

"Antaranya ialah operasi hotel sempena cuti umum, operasi minuman memabukkan, operasi judi, operasi dan pemantauan golongan 'Mak Nyah', operasi dan pemantauan aktiviti pergaulan bebas dan perbuatan tidak sopan, operasi dan pemantauan aktiviti tidak solat Jumaat serta operasi dan pemantauan pawagam.

"Selain itu kita turut mengedarkan 'flyers' dan pamplet di seluruh masjid negeri Terengganu dalam usaha menyedarkan rakyat agar tidak meninggalkan solat fardu," ujarnya.

Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis bagi menjawab soalan bertulis Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sura, Wan Hapandi Wan Nik, di Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri Terengganu Ke-14, di Wisma Darul Iman (WDI), pada hari ini.

Satiful turut berkata, dalam mempergiatkan usaha untuk memastikan pelaksanaan syariah di negeri ini dapat dilaksanakan, beberapa program juga akan dilaksanakan.

"Antaranya, penerangan kepada masyarakat mengenai kesalahan-kesalahan Jenayah Syariah Takzir kepada semua golongan pelajar Institut Pengajian Tingga Awam/Swasta (IPTA/IPTS), kakitangan kerajaan/swasta, remaja dan lain-lain golongan.

"Juga bekerjasama dengan IPTA untuk mendapatkan kepakaran bagi melaksanakan program kaunseling dan pencegahan, pakar-pakar dalam bidang kaunseling, akidah dan syariah akan digunakan untuk menangani isu-isu berkatan akidah.

"Juga program 'street dakwah' bersama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) akan dilaksanakan di kawasan 'hot spot' untuk mengedarkan risalah-risalah pencegahan jenayah syariah serta kempen kesedaran menutup aurat, Solat Jumaat, pencegahan khalwat, bonceng motorsikal, larangan judi, minum arak dan lain-lain akan dipergiat," ujarnya lagi.

 

 


Tag: