• 16 Apr 2024 | 7 Syawal 1445

Sidang DUN : Pendapatan Negeri Daripada Bayaran Royalti TNB Akan Terus Meningkat

Ir Rosli
Kerajaan negeri menjangkakan pendapatan daripada bayaran royalti penggunaan air dan lesen takungan air di Stesen Janaelektrik Sultan Mahmud (SJSM) di Hulu Terengganu, akan terus meningkat pada masa depan.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Tenaga dan Teknologi Hijau Negeri, Ir Rosli Othman berkata, sepanjang 1987 sehingga kini,  pendapatan yang direkodkan terus bertambah berdasarkan kemajuan pembangunan infra stesen janaelektrik yang baharu Stesen Janaelektrik Hulu Terengganu (Tasik Tembat dan Tasik Puah).

Katanya, perjanjian bayaran royalti berkenaan akan tamat pada 23 Ogos ini dan proses perbincangan untuk meneruskan kontrak berkenaan termasuk tambahan kepada SJSM berkenaan.

“Jumlah tahunan bayaran royalti (SJSM) RM11,637,000 setahun. Mengikut pecahannya sebanyak RM8 juta adalah untuk royalti air dan lesen takungan air pula RM3,673,000 setahun.

“Perjanjian sedia ada akan tamat pada 23 Ogos 2017. Sejak tahun lepas, kerajaan negeri dalam perbincangan dengan TNB (Tenaga Nasional Berhad) belum memuktamadkan lagi tentang penyambungan kontrak  royalti air dan bayaran lesen takungan. Bagaimanapun, proses itu sedang berjalan,”katanya di mesyuarat kedua penggal kelima Dewan Undangan Negeri ke-13, di Wisma Darul Iman, hari ini.

Rosli (BN-Kemasek) berkata demikian sebagai mengulas soalan Abdul Wahid Endut (Pas-Wakaf Mempelam) mengenai status penyambungan kontrak bayaran royalti dan usaha menaikkan bayaran royalti sebagai hasil tambahan kepada pendapatan negeri.

Sementara itu, beliau memberi jaminan bahawa proses menandatangani perjanjian baharu yang turut merangkumi tambahan stesen janaelektrik juga tidak akan merugikan mana-mana pihak yang terbabit.

Mengulas saranan Abdul Wahid mengenai keterlibatan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Dato’ Azman Mohd sebagai anak jati Terengganu terhadap pembangunan negeri, beliau memberi jaminan Azman akan memberi komitmen demi kebaikan, manfaat serta kesejahteraan negeri yang melibatkan pelaburan dari syarikat bekalan elektrik terbesar negara itu.

Untuk rekod, bayaran royalti ini dibuat berdasarkan perjanjian yang ditandatangani antara kerajaan negeri dan TNB yang sebelum ini dikenali Lembaga Letrik Negara (LLN) pada 24 Ogos 1987.

Perjanjian tambahan pertama telah ditandatangani pada 19 Julai 2000 manakala perjanjian tambahan kedua pula pada 18 November 2008.

Sepanjang ia dimeterai, pihak TNB sudah membayar keseluruhan RM195 juta kepada kerajaan negeri.

Tag: