• 24 Apr 2024 | 15 Syawal 1445

Sidang DUN : Penyakit LSD Lembu Tidak Jangkiti Manusia

KUALA TERENGGANU, 15 September - Orang ramai tidak perlu khuatir tentang penularan penyakit kulit kental (LSD) pada ternakan lembu kerana ia tidak menjangkiti manusia, malah dagingnya selamat dimakan.

LSD merupakan sejenis penyakit disebabkan oleh virus dan kini dikesan mula menular sekitar Kuala Nerus dan Setiu  sejak Mei lalu. 

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, melihat keadaan itu kerajaan negeri telah meluluskan peruntukan RM100,000 bagi pembelian vaksin.

Katanya, suntikan vaksin dianggap penting bagi mengelak penularan LSD (penyakit kulit) terus merebak ke daerah lain.

"Penumpuan suntikan bergantung kepada kawasan yang berisiko tinggi.

“Wabak LSD di negeri ini masih dibawah kawalan, setakat ini 60 ternakan lembu disyaki positif, selepas dibuat ujian klinikal hanya 10 ekor lembu yang disahkan positif," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan bertulis Dato’ Muhamad Pehimi Yusof (BN-Jertih) pada Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri Ke-14, di sini, hari ini. 

Menurutnya, prosedur operasi standard (SOP) wabak LSP, lembu akan dikuarantin serta merta untuk diberikan rawatan, jika tidak dapat diselamatkan akan dilupuskan dengan kaedah penyembelihan. 

“Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) akan membayar ganti rugi sebanyak RM800 bagi setiap lembu yang dilupuskan di Rumah Sembelihan Veterinar di Gong Badak.

“Pendekatan itu sekurang-kurangnya mampu melegakan penternak, selain mengelak kerugian lebih besar,” katanya.


Tag: