• 27 Apr 2024 | 18 Syawal 1445

SIDANG DUN : Perkenal GMTS Lahir Belia Berkepimpinan

KUALA TERENGGANU, 16 November - Kerajaan negeri melalui Urusetia Belia, Sukan dan NGO Terengganu Sejahtera (UBSNT) memperkenalkan program Generasi Muda Terengganu Sejahtera (GMTS) bagi melahirkan anak muda berkepimpinan dan berketerampilan.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah, berkata pada masa yang sama pihaknya turut memperkenalkan Program ADUN Belia, Rukun Negara@Belia dan Etos Anak Muda.

Katanya, apa yang dianjurkan itu semata-mata sebagai persediaan kerajaan untuk berdepan dengan pengundi muda 18 tahun ke atas.

“Matlamatnya supaya mereka lebih berminat untuk peka dengan perkembangan politik, ekonomi dan sosial negara.

“Tidak berhenti di situ  sahaja, turut menganjurkan Program Pendidikan Pengundi (Voter Education - VE) di mana telah dilaksanakan di 14 buah Institusi Pengajian Tinggi dan enam buah sekolah melibatkan 7,000 orang pelajar di negeri ini,”katanya.

Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis bagi menjawab soalan bertulis Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ajil, Maliaman Kassim di Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri Terengganu Ke-14, di Wisma Darul Iman (WDI), pada hari ini.

 


Tag: