• 19 Apr 2024 | 10 Syawal 1445

Sidang DUN : Projek Pertanian Rimbunan Kaseh Rantau Abang Terengganu Dimajukan Kembali

Dr. Azman Ibrahim.
KUALA TERENGGANU, 2 April - Kerajaan negeri akan memajukan kembali aktiviti ekonomi berasaskan pertanian di Tapak Rimbunan Kaseh, Rantau Abang dalam masa terdekat selepas dihentikan pada April 2017.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa, Dr. Azman Ibrahim berkata, Kerajaan Terengganu bersama IRIS Corporation Berhad (IRIS) selaku badan pelaksana asal kini dalam proses memulihkan kembali aset yang rosak.

Jelasnya, pihak kerajaan juga telah menubuhkan satu jawatankuasa khas bagi merancang strategi baharu yang lebih berkesan untuk membangunkan tapak itu di samping menyelesaikan segala masalah yang berbangkit.

“Kerosakan yang berlaku pada aset akan diperbaiki menggunakan wang jaminan projek daripada IRIS yang ada pada Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri (ICU) tanpa menggunakan dana kerajaan negeri dan insya-Allah proses pembaikan akan siap menjelang bulan Jun akan datang,”.

“Kita memandang ke hadapan untuk mengambil alih pengurusan program rimbunan kaseh dan satu jawatankuasa khas rimbunan kaseh telah ditubuhkan oleh kerajaan negeri pada 5 Disember 2018 ,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan yang dikemukakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau Abang, Alias Harun semasa Mesyuarat Pertama Penggal Kedua DUN Terengganu Keempat Belas di Wisma Darul Iman, di sini pagi tadi.
 
Sidang DUN Terengganu.
Dr. Azman turut berkata, pembaharuan program itu akan meliputi dua segmen utama iaitu isu kebajikan peserta dan pelan pembangunan program.

Ujarnya, isu pemilikan rumah peserta dan strategi untuk memajukan kembali tapak berkenaan akan diselesaikan secepat mungkin tanpa mengabaikan segala aspek.

“Kerajaan telah buat keputusan, kesemua 85 peserta yang menetap di rumah dalam program rimbunan kaseh ini akan terus diberikan kebenaran tinggal dan mereka tidak akan dikeluarkan kecuali mereka memilih untuk keluar.

“Segmen kedua bagi memajukan projek ini, pada 2 Januari 2019 kerajaan negeri melalui Unit Perancang Ekonomi Terengganu (UPEN) telah menghantar surat tawaran kepada Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) untuk mengoperasikan insfrastruktur pertanian yang ada dalam program rimbunan kaseh ini.

“Dan pihak LPP menyambut baik dan dalam rangka untuk menyiapkan kertas cadangan bagaimana pelan mereka untuk membangunkan projek ini,” tambah beliau.

Projek Rimbunan Kaseh merupakan program yang merangkumi beberapa komponen utama iaitu 100 buah rumah, 26 ‘Greenhouse’ Struktur Pelindung Hujan (SPH), 400 tangki penternakan ikan serta ladang tanaman Limau Kasturi dan Golden Melon.

Tag: