• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

Sidang DUN : Sultan Mizan Seru Rakyat Terengganu Ambil Vaksin

KUALA TERENGGANU, 13 September - Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin menyeru seluruh rakyat negeri ini supaya segera mendaftarkan diri untuk mendapatkan suntikan vaksin COVID-19.

Melalui perutusan yang dibaca Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar itu, Baginda bertitah, Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) yang diperkenalkan kerajaan merupakan salah satu kaedah untuk mengawal pandemik. 

“Pada ketika ini, Program Vaksinisasi merupakan kaedah terbaik untuk melindungi rakyat daripada COVID-19.

“Ia diberikan secara percuma kepada semua warganegara dan bukan warganegara yang disalurkan melalui Pusat Pemberian Vaksin (PPV) yang ditetapkan oleh Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 (CITF) Negeri dan Persekutuan,” titah Baginda Sempena Istiadat Pembukaan Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri Terengganu Ke-14 hari ini.

Titah Baginda lagi, di negeri Terengganu lebih 80.2 peratus daripada masyarakat telah mendaftar untuk menerima vaksin dan 15 buah PPV telah dibuka di seluruh negeri serta pelbagai program Outreach telah dilaksanakan.

“Walau bagaimanapun, kita sedia maklum bahawa CITF Persekutuan juga menghadapi kekangan sumber vaksin diperingkat global, menyebabkan kadar penerimaan stok vaksin di Negeri Terengganu sedikit terganggu. 

“Beta berharap perkara ini dapat diselaraskan sebaik mungkin supaya  usaha ini akan dapat membantu Negeri Terengganu mencapai  ‘Herd Imunity’ atau imuniti berkelompok dihujung tahun ini atau sebelum Monsun Timur Laut melanda. 

“Diharapkan kadar pendaftaran untuk mendapatkan vaksin dan kadar vaksinisasi dapat dipertingkatkan secepat mungkin bagi mengawal penularan wabak COVID-19 ini,” titah Sultan Mizan.


Tag: