• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Sidang DUN Terengganu Dilanjutkan Kepada Tiga Hari

KUALA TERENGGANU, 22 November - Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Keempat Belas Terengganu yang bermula esok akan berlangsung selama tiga hari sehingga 25 November.

Yang Di-Pertua DUN Terengganu, Dato' Yahaya Ali memaklumkan, sebelum ini sidang DUN dijadualkan selama dua hari iaitu pada 23 dan 24 November kerana negeri berdepan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) tempoh hari.

"Oleh kerana Majlis Keselamatan Negara (MKN) membuat keputusan menamatkan PKPB di Terengganu semalam, maka kita telah memutuskan untuk menambah sehari lagi persidangan iaitu 25 November mengambil keperluan kepada ahli-ahli DUN memperolehi lebih masa untuk perbahasan.

"Walau bagaimanapun, kerana keadaan pandemik ini tidak menentu dan berubah dari masa ke masa, kita tidak mengadakan persidangan penuh selama empat hari sebagaimana jadual asal Sidang DUN Terengganu,

Jelasnya, beliau menggunakan budi bicara sebagai Yang Di Pertua DUN dalam peruntukan perkara 7(3) Peraturan-Peraturan Dan Perintah-Perintah Tetap Dewan, untuk meminda dan membuat kesesuaian hari persidangan tersebut.

"Sebenarnya sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) ini, perhimpunan berskala besar juga tidak digalakkan dan kita mengambil kira saranan berkenaan dalam memutuskan perkara ini," katanya.

Tambahnya, kenyataan media yang dikeluarkan pada 11 November lalu terbatal oleh pindaan itu.

Bagaimanapun, pihak DUN tetap dengan keputusan bahawa Ahli-ahli  Yang Berhormat dan Ketua-Ketua Jabatan sahaja yang dibenarkan hadir serta semua jemputan diminta mematuhi Prosedur Kendalian Standard yang telah ditetapkan oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

 


Tag: