• 04 Mei 2024 | 25 Syawal 1445

Sidang DUN Terengganu Sebulat Suara Tolak Akta Laut

KUALA TERENGGANU, 25 April - Persidangan Dewan Undangan Negeri Terengganu hari ini telah menolak Akta Laut Wilayah 2012 yang telah diluluskan pada tahun 2012 (Akta 750) atas asas mendapati Kerajaan Persekutuan mengambil peluang menafikan bayaran tunai petroleum Terengganu.

Usul penolakan terhadap akta dengan menghadkan sempadan setiap perairan negeri kepada tiga batu nautika tersebut dikemukakan oleh Nurkhuzaini Ab Rahman (PAS - Kota Putera) mendapat sokongan semua ahli dewan setelah dibahas oleh empat ahli dewan.

"Saya buka usul untuk disokong dan dipersetujukan. Maka dengan ini usul tersebut diluluskan,” kata Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, Datuk Mohd Nor Hamzah.

Ahli Dewan Undangan Negeri Kemasik, Ir Saiful Azmi Suhaili  yang  membahaskan usul berkenaan berkata,  Akta 750 tidak boleh berkuatkuasa di mana-mana negeri di Malaysia dan Kerajaan Persekutuan tidak boleh sewenang-wenangnya mengambil alih pemilikan pelantar benua dan wilayah perairan setiap negeri tanpa persetujuan mereka.

“Ini kerana, ketika pembentangan Akta 750, Malaysia bukan lagi terikat di bawah Ordinan Darurat Kuasa-kuasa Perlu No.7 1969 dan tidak berada dalam keadaan darurat.

“Kita boleh rumuskan bahawa sebelum rang undang-undang seperti Akta 750 dapat dibentangkan dalam Dewan Rakyat atau Dewan Negara, kelulusan setiap negeri hendaklah diperolehi terlebih dahulu,” ujarnya.

Bagi ADUN Permaisuri, Mohd Yusop Majid yang turut sama membahaskan usul tersebut berkata akta itu adalah merupakan satu jawapan bersifat politik yang mengelirukan dan tersasar daripada fakta undang-undang dan sejarah.

"Isu royalti hasil petroleum ini sentiasa dimainkan mengikut musim dan ianya gagal dinokhtahkan secara jelas dan muktamad oleh Kerajaan Persekutuan. Maksud bermusim di sini ialah sekiranya kerajaan negeri diperintah oleh parti pembangkang, yang tidak sealiran dengan Kerajaan Persekutuan, lalu diambil tindakan menafikan pembayaran secara berjadual menurut Perjanjian 22hb Mac 1975 antara Petronas dan Kerajaan Terengganu. 

“Oleh itu kita berpendapat bahawa perlu ada kesimbangan kuasa antara persekutuan dan negeri yang melibatkan persempadanan laut wilayah . Kerajaan Persekutuan tidak boleh dilihat terlalu tamak dalam menanda persempadanan laut wilayah negeri-negeri yang akhirnya segala hasil kekayaan sesebuah negeri disakau oleh Kerajaan Persekutuan, manakala kerajaan negeri hanya diberi hasil atas dasar belas ihsan semata-mata seumpama kerajaan negeri terpaksa melukut di tepi gantang, ujarnya.

Tambahnya, sesebuah negeri memerlukan 200 batu nautika atau lebih bagi tujuan kegiatan ekonominya sebagaimana pandangan Tun Salleh Abbas berkenaan Akta Pelanta Benua 1966.

Sementara itu, dua lagi pembahas usul yang terdiri daripada ADUN Bukit Tunggal, Zaharuddin Zahid dan ADUN Seberang Takir, Khazan Che Mat juga bersependapat Akta 750  bertentangan dengan Perkara (2) Perlembagaan Persekutuan dimana menyebut Parlimen boleh melalui Undang-Undang (b) mengubah sempadan mana-mana negeri tetapi undang-undang yang mengubah sempadan sesuatu negeri tidak boleh diluluskan tanpa persetujuan negeri itu yang dinyatakan melalui undang-undang yang dibuat Badan Perundangan Negeri itu dan Majlis Raja-Raja.

 


Tag: