Sidang DUN : Terengganu Tubuh Jawatankuasa Khas Bincang Isu Penjaja Jalanan


KUALA TERENGGANU, 4 April - Kerajaan negeri akan mewujudkan sebuah jawatankuasa khas bagi membincangkan isu-isu berkaitan penjaja jalanan agar tiada lagi peniaga yang menjadi ‘penjaja haram’ di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Keusahawanan, Industri Mikro dan Hal Ehwal Penjaja negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman berkata, jawatankuasa khas itu akan dianggotai oleh agensi berkaitan termasuk Pihak Berkuasa Tempatan serta pihak trafik.

“Sekarang ini, hampir keseluruhan simpang jalan di Terengganu ini ada penjaja jalanan.

“Kita akan wujudkan satu jawatankuasa khas untuk bincang perkara ini termasuk membuat satu dasar apa yang boleh dan tidak boleh penjaja ini lakukan dan akan melihatnya dari sudut positif di mana kalau ada permasalahan akan cuba diatasi sebaik mungkin,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Terengganu Ke-14, di Wisma Darul Iman, hari ini.

Katanya, kerajaan negeri amat mengambil berat terhadap aspek keselamatan dan hal-hal lain yang berkaitan dengan penjaja jalanan yang tumbuh bagaikan cendawan dan menjadi suatu fenomena baharu di negeri ini.

“Kita melihat perkara ini (penjaja jalanan) satu kreativiti oleh anak muda dan menerusi jawatakuasa khas yang bakal ditubuhkan, aspek keselamatan mereka ini akan menjadi keutamaan dalam fokus perbincangan,” ujarnya.

Terdahulu, ketika menjawab soalan lisan Nawi Mohamad, wakil (BN- Hulu Besut)  Mohd Nurkhuzaini berkata, sebanyak RM2 juta disediakan bagi Dana Usahawan Belia Sejahtera (Dana U-BES) oleh kerajaan negeri menerusi Bajet 2019 untuk menggalakkan anak muda menceburi bidang keusahawanan.

“Menerusi Dana U-BES, kerajaan negeri mensasarkan untuk melahirkan usahawan belia seramai 150 orang setahun.

“Pengambilan sesi pertama seramai 40 orang yang akan bermula pada April ini di mana fokus utama program ini adalah kepada latihan keusahawanan dan bantuan untuk belia yang akan menjalankan aktiviti perniagaan atas talian,” ujarnya.







Tag: