• 27 Apr 2024 | 18 Syawal 1445

SIDANG DUN : Wujud 159 Stesen Hidrologi Bagi Pantau Banjir

KUALA TERENGGANU, 17 November - Sebanyak 159 stesen hidrologi akan digunakan bagi pemantauan awal banjir di Terengganu.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat, berkata persiapan itu merupakan salah satu langkah kerajaan menangani kemungkinan berlakunya bencana tersebut dalam masa terdekat.

"Sebanyak 59 stesen hidrologi dengan tambahan 34 stesen daripada Program Ramalan dan Amaran Banjir (PRAB) Fasa 1 yang telah beroperasi bermula Ogos 2021.

"Manakala 66 stesen daripada PRAB Fasa 2 yang dijangka akan siap pada November 2022," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Ahli Dewan Undangan Negeri(ADUN) Bukit Besi, Roslee Daud di Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Belas (Bajet) di Dewan Undangan Negeri di sini hari ini.

Tambahnya, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) telah menyiapkan 580 pusat Pusat Pemindahan Sementara (PPS) yang berdaftar dan boleh menampung kapasiti seramai 147,600 orang.

"Kapasiti ini akan berkurang separuh daripada jumlah sebenar kerana faktor penjarakan sosial akibat wabak pandemik yang berlaku kini.

"JKM juga menyediakan sebuah Depoh Simpanan Keperluan Bencana (DSKB), 17 mini depoh dan 149 pengkalan hadapan bagi menghadapi banjir,"ujarnya.

Dalam masa yang sama, lebih RM 6,6 juta diperuntuk kepada Jabatan Pengairan Dan Saliran (JPS) bagi menyelenggara sungai dan alur.

"Sementara itu, RM1.8 juta diperuntukan bagi projek pemuliharaan sungai untuk mengurangkan risiko banjir.

"Manakala RM 4,809,600 juta diperuntukan bagi program strategik memperkasa rakyat dan ekonomi (PEMERKASA) bagi projek pemuliharaan sungai," katanya.