• 24 Apr 2024 | 15 Syawal 1445

Sijil Vaksin Palsu : Kerajaan Negeri Pantau Penjawat Awam

KUALA NERUS, 10 Januari – Kerajaan negeri akan memantau secara berterusan serta mengambil tindakan segera terhadap penjawat awam negeri yang didapati memalsukan atau memiliki sijil suntikan vaksin COVID-19 tiruan.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr Alias Razak berkata, isu tersebut diberi perhatian kerana ia melibatkan kesihatan dan keselamatan masyarakat.

“Jika didapati seorang doktor terlibat maka ia isu berat kerana melibatkan etika perubatan, pihak kesihatan akan mengambil tindakan sepatutnya bagi golongan sedemikian atas kerja kurang amanah tersebut.

“Kebiasaannya Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menerusi Malaysian Medical Council akan mengambil tindakan membatalkan lesen operasi klinik dan perubatan jika didapati pegamal kesihatan tersebut didapati bersalah.

“Arahan telah dikeluarkan kepada jabatan-jabatan bagi memantau golongan anti-vaksin serta mereka yang terlibat dengan pembelian sijil suntikan tiruan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai penahanan seorang doktor sebuah klinik swasta oleh polis di Marang, hari ini.

Jelasnya, kerajaan negeri juga akan menyerahkan sepenuhnya kerja penyiasatan kepada Polis dan Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) bagi memastikan perkara sedemikian tidak berulang.

Terdahulu, Ketua Polis Terengganu, Datuk Rohaimi Md Isa melaporkan seorang doktor lelaki berusia 51 tahun, dicekup kelmarin, bagi membantu siasatan berkaitan lebih kegiatan pemalsuan 1,900 sijil vaksinasi COVID-19.