Sikap 'Nak Simpan Buat Pusaka' Rugikan Negeri - Dr. Azman

KUALA TERENGGANU, 17 April – Pemilikan tanah tanpa usaha memajukannya hanya menjadikan ia beban dan kerugian kepada negeri, lebih-lebih lagi apabila alasan klasik 'nak simpan buat pusaka' masih menjadi jawapan utama pemilik tanah di Terengganu.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Negeri, Dr. Azman Ibrahim menegaskan bahawa pemikiran sebegini wajar dikikis kerana tanah ialah amanah untuk dimakmurkan, bukan ditinggalkan tanpa dimanfaatkan.

"Adalah suatu kerugian bila situasi tanah terbiar ini dibiarkan berlarutan dalam keadaan terbiar dalam satu tempoh yang lama. 

"Ramai pemilik tanah bila ditanya kenapa biarkan saja tanah tanpa diusahakan, jawapan klasiknya ialah, nak simpan buat pusaka,” katanya dalam sesi pergulungan sidang DUN, di Wisma Darul Iman semalam.

Beliau mengingatkan bahawa harta pusaka akan tetap menjadi milik waris selepas kematian, dan menyimpan tanah tanpa sebarang usaha pembangunan bukanlah tindakan bijak ketika masih hidup dan mampu berusaha.

"Pusaka tak perlu simpan, bila kita mati maka harta peninggalan termasuk tanah akan jadi pusaka. 

"Yang kita mahu ialah, masa masih hidup dan bertenaga, kita perlu berusaha untuk memakmurkan muka bumi Allah,” ujarnya.

Menurut rekod, Jabatan Pertanian sebelum ini mengklasifikasikan tanah terbiar sebagai tanah milik individu atau syarikat seluas lebih satu ekar yang tidak diusahakan selama tiga tahun berturut-turut, dengan lebih 8,263 hektar dikenal pasti sebagai terbiar di seluruh negeri sehingga 2021.