• 12 Mei 2024 | 4 Zulkaedah 1445

Simulasi Keselamatan Bas Amfibia Lancar


Pandu uji bas amfibia di Sungai Terengganu semalam, turut melibatkan simulasi operasi menyelamat penumpang bas itu.

Menteri Besar, Dato' Seri Ahmad Razif Abd Rahman berkata, tempoh pandu uji kenderaan dua alam itu memerlukan pihaknya menjalankan pemeriksaan rapi dan meneliti segala aspek termasuk bantuan kecemasan jika berlaku kerosakan dan sebarang kelemahan.


Beliau sebelum itu, turut mengakui terdapat kesilapan ketika mengambil risiko memandu uji bas dua alam berkenaan, apabila secara tidak sengaja hos menghubungkan tekanan udara bas berkenaan tiba-tiba tercabut akibat cara pemanduannya tidak betul.

"Saya tidak pernah bawa bas ini..semalam saya tekan dan pecut sahaja.Semua penumpang yang ada termasuk saya mengambil risiko sendiri. Pada peringkat awal mereka tidak benarkan saya naik, tetapi saya mengambil risiko, saya sebagai Menteri Besar sanggup naik, apa yang susah dan bimbangnya..saya sudah menaiki bas begini di Hungary dahulu, tiada apa-apa masalah.

"Bas ini adalah terbaik kerana ada dua `blower water jet'. Bas yang lain sebelum ini dan ini yang kebelas. Sepuluh sebelum ini single water jet, kita ada double water jet jadi kita lebih laju. Saya difahamkan boleh sampai sehingga 12 knot , tetapi semalam cuba sehingga (kelajuan) 8 knot,"katanya.

Ahmad Razif turut berpuas hati dengan operasi menyelamat yang dijalankan sebaik insiden itu kerana hanya mengambil masa kira-kira 10 minit dan berjalan lancar tanpa berlaku masalah yang tidak diingini hasil kecekapan pasukan terlibat.

Operasi menyelamat itu dilakukan bahagian Teknikal Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Terengganu (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam (APM), Polis Di Raja Malaysia (PDRM), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

“Itu dalam keadaan tak bersedia, jadi selepas ini saya akan minta simulasi menyelamat begini diteruskan dalam semua keadaan terutama bagi keadaan yang tak dijangka memandangkan ia (bas) boleh beroperasi di air dan di darat,” katanya.



Ketika ditanya mengenai tindakan segelintir pihak menularkan bas yang dikatakan rosak itu, beliau hanya mendoakan semoga pihak terbabit mendapat hidayah dan petunjuk dari Allah SWT.

“Dalam soal ini, sukar untuk kita cakap. Macam di Ekspo Terengganu 2018 sebelum ini kita terima kunjungan 625,000 yang datang, alih-alih cerita imam dan bilal yang pihak sebelah sana mainkan dan jadikan isu, jadi, dalam hal ini rakyat boleh nilai.

“Bas amfibia ini pun dalam proses untuk dapatkan lesen memandu...minggu depan saya difahamkan bas ini akan ada ujian dengan JPN dan Jabatan Laut. Jadi, kita doakan yang terbaik kerana bas ini akan memberi banyak peluang kepada rakyat sebaik sahaja dapat beroperasi sepenuhnya nanti,” katanya.



Tag: