• 20 Apr 2024 | 11 Syawal 1445

KUALA NERUS, 14 Januari – Usaha Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) memperkenalkan pendidikan awal Orang Kurang Upaya (OKU) melalui Program Quranic Playgroup memberi sinar baharu buat golongan tersebut.

Ketua SIG OKU Kanak-kanak UniSZA, Prof. Madya Dr. Norsuhaily Abu Bakar berkata, langkah yang memfokuskan anak autisme dan sindrom down itu akan diperluaskan lagi pada masa akan datang mengikut perkembangan semasa.

Katanya, ia disebabkan wabak COVID-19  yang masih belum berakhir di mana hanya 10 orang anak istimewa terlibat dalam program itu buat masa ini.

"Pendidikan ini membawa kelainan dengan menjemput anak bersama ibu bapa dalam kelas bersama terapi dan jurupulih. Ini adalah salah satu usaha dan titik tolak kepada bagaimana kita akan mulakan resolusi pembinaan Pusat Psikologi dan Rehabilitasi di pantai timur dan mengembleng tenaga pakar dari UniSZA.

“Perancangan ini merupakan wadah dan sinar kepada anak-anak istimewa tempatan supaya ibu bapa tidak lagi perlu beratur di institusi luar yang amat terhad.

“Terapi dan rawatan di institusi swasta juga memakan kos tinggi manakala kelas-kelas pendidikan khas tercampur dan tiada pengkhususan khas untuk kanak-kanak keperluan khas berlainan,” ucapnya.

Beliau berkata demikian semasa berucap dalam perasmian Program Quranic Playgroup Autisme di UniSZA Kampus Gong Badak, baru-baru ini.

Hadir sama, Ahli Lembaga Pengarah UniSZA merangkap Penasihat SIG OKU Kanak-kanak UniSZA, Prof. Dr. COL (B) Wan Pauzi Wan Ibrahim.

Tambah Norsuhaily, program berkenaan juga diisi dengan terapi ruhyah dan psikospiritual, aktiviti bermotor, terapi pertuturan dahasa dan sebagainya mengikut kategori ‘kinder’ (5-6 tahun), ‘primary’ (7-11 tahun) dan ‘secondary’ (12-14 tahun).

Terdahulu, Norsuhaily menghargai keprihatinan Menteri Besar merangkap pengerusi SATU, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menerusi usaha tanggungjawab sosialnya (CSR) menyampaikan bantuan pendidikan supaya rawatan diperluaskan dengan terapi-terapi terlatih dalam ruang kondusif.

Sementara itu, salah seorang ibu kepada peserta program, Norul Hazri Ibrahim, 42, menyifatkan usaha UniSZA sebagai langkah baik dalam menyediakan alternatif kepada hospital luar yang mengambil masa sekurang-kurangnya tiga bulan untuk satu sesi terapi.

“Anjuran program ini membolehkan anak saya Tuan Badrun Irsyad, 14, yang didiagnos dengan defisit intelektual, mendapat rawatan dan pendidikan awal.

“Suasana kelas turut membolehkannya belajar berkomunikasi bersama insan sepertinya tanpa bercampur dengan kelainan diagnos,” katanya.