• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Sindiket Penjualan 1,900 Sijil Vaksin Palsu Tumpas

KUALA TERENGGANU, 10 Januari - Taktik seorang doktor swasta mengeluarkan sijil vaksinasi palsu terbongkar apabila dia ditahan polis, kelmarin. 

Ketua Polis Terengganu, Datuk Rohaimi Md Isa berkata, lebih 1,900 sijil vaksinasi Covid-19 dikeluarkan kepada pelanggan termasuk dari Kuala Lumpur, Pahang, Kedah dan Johor dengan kadar bayaran antara RM400 hingga RM600 seorang.

Berikutan itu katanya seorang doktor lelaki berusia 51 tahun, dicekup kelmarin, bagi membantu siasatan dan turut dirampas dokumen berkaitan, kad janji temu vaksin yang menjalani dos satu, komputer riba, telefon dan sebagainya.

Jelasnya, mengikut siasatan awal, pihaknya mendapati ada sebahagian golongan anti vaksin mendapatkan sijil itu di klinik berkenaan dan membeli melalui atas talian sebelum di pos kepada golongan sasar berkenaan. 

“Ada individu yang datang untuk menerima suntikan tetapi sekiranyanya dia mendapat maklumat bahawa doktor ini menjalankan kegiatan tidak menyuntik tapi tetap keluarkan sijil mereka sanggup datang termasuk dari Kedah dan Kuala Lumpur.

"Bagaimanapun, tidak semua sijil vaksin itu palsu dan kita sedang menyiasat berapa individu yang benar-benar menerima suntikan dan tidak disuntik.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu,”ujarnya kepada pemberita di Sidang Media Tangkapan Penjualan Sijil Vaksinasi di Bilik Mesyuarat IPK Kuala Terengganu, di sini hari ini.

Sementara itu, Pengarah JKNT, Datuk Dr Kasemani Embong turut mengesahkan klinik swasta berkenaan  belum mendapat kelulusan memberikan suntikan vaksin kepada orang ramai.

Katanya, tindakan licik doktor berkenaan mengundang padah sekiranya didapati bersalah boleh digantung atau dibatalkan pendaftaran sebagai pegawai perubatan dan klinik di bawah pemilikannya yang didaftarkan di bawah Akta Kemudahan Perkhidmatan  Jagaan Kesihatan Swasta 1998 Akta 5-8-6 turut dibatalkan dan diarah tutup.

Tambah beliau lagi, di bawah Akta 3-4-2 iaitu Akta Pencegahan dan Pegawaian Penyakit Berjangkit 1988, individu-individu yang memiliki sijil Vaksinasi tanpa suntikan sebenar boleh dikompaun sekiranya dibuktikan telah melakukan aktiviti-aktiviti yang memerlukan vaksinasi lengkap di bawah Pelan Pemulihan Negara (PPN) seperti merentas negeri, merentas negara, dan sebagainya.

Dalam masa yang sama, pihaknya akan mengenalpasti mereka-mereka  mendapat sijil vaksin secara tidak mengambil suntikan tersebut  dengan memberi nasihat dan kaunseling supaya mereka menerima suntikan vaksin selepas ini.