Berita :
Singgah Sahur Erat Ukhuwah, Hargai Petugas Barisan Hadapan
Singgah Sahur Erat Ukhuwah, Hargai Petugas Barisan Hadapan
Mastura Jamal Din
1 jam yang lepas
44

KEMAMAN, 6 Mac – Ketika kebanyakan masyarakat sedang berehat di rumah menjelang waktu sahur, masih ada golongan yang setia menjalankan tugas demi memastikan keselamatan dan kesejahteraan orang ramai terus terpelihara.

Prihatin terhadap pengorbanan tersebut, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Cukai, Dato' Hanafiah Mat meneruskan penganjuran program Singgah Sahur pada tahun ini bagi menyantuni petugas yang bekerja pada waktu malam sepanjang bulan Ramadan.

Menurut beliau, program itu merupakan usaha kecil bagi menghargai mereka yang tetap menjalankan amanah walaupun pada waktu kebanyakan masyarakat sedang berehat.

“Alhamdulillah, seperti tahun-tahun sebelum ini, program Singgah Sahur kembali dilaksanakan pada tahun ini sebagai satu usaha kecil untuk menyantuni mereka yang tetap bertugas ketika kebanyakan daripada kita sedang berehat di rumah.

“Kami menyediakan makanan dan minuman untuk diagihkan kepada warga kerja agensi kerajaan yang sedang menjalankan amanah di balai polis, hospital, balai bomba serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM),” katanya kepada pemberita.

Beliau berkata, selain petugas agensi kerajaan, agihan tersebut turut diberikan kepada pengawal keselamatan, pekerja kedai serbaneka 24 jam dan petugas di stesen minyak yang masih bekerja pada waktu sahur.

Menurutnya lagi, orang awam yang kebetulan berada di luar pada waktu tersebut juga tidak dilupakan apabila turut menerima sumbangan makanan sebagai tanda keprihatinan dan perkongsian rezeki pada bulan Ramadan.

“Tidak dilupakan juga, agihan ini turut diberikan kepada pengawal keselamatan, pekerja kedai serbaneka 24 jam, stesen minyak serta orang awam yang masih berada di luar pada waktu sahur.

“Mudah-mudahan sedikit usaha ini dapat mengeratkan ukhuwah dan menjadi tanda penghargaan kepada mereka yang terus berkhidmat demi masyarakat,” ujarnya.
Tambah beliau, program berkenaan juga menjadi platform untuk mendekati petugas barisan hadapan serta menyemarakkan semangat kebersamaan dalam kalangan masyarakat sepanjang bulan Ramadan.

Dalam pada itu, Hanafiah berharap segala amalan yang dilakukan sepanjang Ramadan akan diterima oleh Allah SWT serta dikurniakan keberkatan kepada semua pihak.

“Semoga segala amalan kita sepanjang bulan Ramadan ini diterima oleh Allah SWT dan diberikan keberkatan,” katanya.


Tag :

Ketupat

Artikel Berkaitan