• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

KUALA TERENGGANU, 6 Mac – Tanggapan segelintir pihak mengenai Sinovac sebagai vaksin murahan adalah tidak benar kerana proses kelulusan di bawah kawal selia Agensi Pengawalseliaan Farmaseutikal Kebangsaan (NPRA) sangat ketat.

Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Datuk Ahmad Amzad Hashim berkata, vaksin yang dibeli secara pukal dari China itu adalah lebih mahal dan dipercayai di peringkat dunia kerana penghasilannya menggunakan teknologi ternama.

“Proses pembotolan dijalankan oleh Pharmaniaga Berhad, namun lambat sedikit dari segi kelulusan, kerana ia tidak bergantung kepada kelulusan 200 liter vaksin secara pukal.

“Vaksin tersebut perlu diproses dan dibotolkan dengan betul seperti ditetapkan piawaian,” katanya ketika sidang media selepas Majlis Perasmian Akademi Robotik TD1303 X JAZRO di TD1303, Jalan Sultan Zainal Abidin, Kampung Ladang Tok Pelam, pagi tadi.

Mengulas isu vaksin Pfizer-BioNTech yang menjadi rebutan warga kasta tinggi, Ahmad Amzad memaklumkan, semua vaksin mempunyai keberkesanan yang sama.

“Bagi meningkatkan keyakinan masyarakat awam, saya telah mendaftar untuk divaksin melalui aplikasi MySejahtera dan sedang menunggu giliran.

“Bila sampai giliran saya, vaksin selain Pfizer yang diluluskan NPRA akan disuntik, jika ia Sinovac maka itulah vaksin saya, semoga ini menimbulkan keyakinan terhada vaksin yang diluluskan kerajaan,” jelasnya.

Menjawab dakwaan sesetengah penerima vaksin meninggal setelah disuntik, beliau yang juga Ahli Parlimen Kuala Terengganu menegaskan NPRA iaitu badan kawal selia ubat-ubatan di Malaysia dirujuk sebagai agensi yang paling ketat dalam kerja kelulusan vaksin.

“Berkaitan insiden kematian, apabila diteliti tiada kaitan langsung disebabkan vaksin, jika berlaku sedemikian maka laporan penerima vaksin akan dirujuk untuk mengkaji punca kematian.

“279 juta dos vaksin telah disuntik sehingga kini di 107 negara, sehari purata enam juta orang disuntik, kesan sampingan iaitu anaphylaxis pada kadar sangat minimum iaitu sekitar 0.0003 hingga 0.0004 peratus.

“Di United Kingdom, alahan kacang lebih tinggi berbanding kesan vaksin pada 0.025 peratus atau 1/200 orang dewasa boleh alami kesan sampingan daripada makanan tersebut,” tambahnya.