Sistem ‘Kotak Hitam' Bas Dan Lori Wajar Dimandatori

KUALA TERENGGANU, 11 Jun – Kerajaan disaran mempertimbang pelaksanaan sistem Vehicle Data Recorder (VDR) atau Event Data Recorder (EDR) bagi kenderaan darat seperti bas dan lori komersial sebagai langkah strategik memperkukuh aspek keselamatan pengangkutan negara.

Ahli Parlimen Kuala Terengganu,  Dato' Ahmad Amzad Hashim berkata, teknologi yang berfungsi seperti ‘kotak hitam’ dalam pesawat itu sudah wujud dan digunakan di beberapa negara, termasuk Malaysia dalam skop terhad.

“Sama seperti pesawat, ' kotak hitam' dalam kenderaan adalah alat elektronik yang merekodkan pelbagai maklumat teknikal seperti kelajuan kenderaan, pembrekan mendadak, kesan perlanggaran, perubahan arah secara tiba-tiba, kedudukan GPS, jadual kerja dan waktu rehat pemandu serta data daripada kamera 'dashcam' jika disambungkan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau yang juga Ketua Portfolio Sains, Teknologi dan Inovasi Perikatan Nasional (PN) menjelaskan bahawa beberapa agensi termasuk SPAD (kini APAD) dan JPJ sebelum ini pernah mencadangkan penggunaan sistem pemantauan seperti Driver Behavioural Monitoring System (DBMS) serta Fleet Telematics sebagai pendekatan pencegahan kemalangan dan pemantauan pemanduan.

Menurut beliau, RapidKL dan beberapa operator bas ekspres juga telah mula menggunakan sistem VDR atau telematik terbina, namun pelaksanaannya masih belum menyeluruh dan tidak diwajibkan kepada semua pengendali.

“Teknologi ini membawa pelbagai kelebihan termasuk memudahkan pihak berkuasa menjalankan siasatan kemalangan, membantu pengurusan syarikat menilai prestasi pemandu, mengelakkan kecuaian, serta memberikan potensi pengurangan premium insurans bagi syarikat yang menggunakannya,” ujarnya.

Walau bagaimanapun, beliau mengakui terdapat beberapa cabaran pelaksanaan, antaranya kos pemasangan sekitar RM1,000 hingga RM5,000 seunit, tiadanya penguatkuasaan mandatori secara menyeluruh, dan kebimbangan terhadap privasi pemandu yang perlu ditangani secara berhemah.

Dalam masa sama, Ahmad Amzad turut menyeru kerajaan agar menilai semula sistem penghadang jalan jenis besi yang digunakan secara meluas ketika ini kerana dilihat tidak sesuai dan berisiko tinggi kepada pengguna dalam kes kemalangan.

“Teknologi penghadang jalan yang lebih selamat dan mesra impak, sebagaimana yang diguna pakai di beberapa negara maju, wajar diperkenalkan segera,” katanya lagi.

Beliau mencadangkan agar kerajaan merangka satu pelan tindakan bersepadu, melibatkan kementerian dan agensi berkaitan, bagi memastikan sistem VDR/EDR dapat dilaksanakan secara menyeluruh sebagai usaha melindungi keselamatan pengguna jalan raya.