• 27 Apr 2024 | 18 Syawal 1445

Situasi Banjir Makin Teruk Di Bandar Chukai

KEMAMAN, 8 Januari - Situasi semasa banjir di bandar Chukai kini hampir kritikal dengan beberapa jalan utama dan kawasan perumahan dinaiki air sejak jam 5.00, petang semalam.

Penolong Kanan Penguasa Bomba Chukai, Mohd Zailani Abdullah melaporkan, air dari tiga batang sungai iaitu Sungai Teladas, Sungai Tebak dan Sungai Cerul telah mengalir sepenuhnya ke bandar tersebut mengakibatkan kawasan perumahan dan kampung dinaiki air sedalam satu meter.

"Kemungkinan kita anggarkan malam dan pukul 3.00 pagi akan ada peningkatan air serta laut air pasang kira-kira 2.7 meter pasti berlaku pertembungan antara air sungai daripada hulu dan air laut.

"Antara kawasan terkesan seperti di Kampung Pengkalan Pandan, Kampung Bukit Mentok, Bandar Baru Bukit Mentok, Kampung Tempurung dan juga kawasan di sekitar bandar Chukai.

“Banyak jalan raya turut ditutup seperti di Jalan Pandan, hanya kenderaan berat sahaja yang dibenarkan masuk,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemubual pemberita selepas kerja menyelamat di kawasan Chukai, malam semalam.

Tambahnya, air turut melimpah masuk ke jalan utama dari Cukai menghala Geliga dengan paras 0.3 meter menyebabkan kesesakan trafik buat sementara waktu.

Sementara itu, Mohd Zailani turut menasihati orang ramai terutama penduduk di Chukai supaya mengikuti arahan dan nasihat yang dikeluarkan pihak berkuasa.

“Jika berlaku situasi dimana mereka diarahkan berpindah, segera bertindak sedemikian supaya tidak menganggu kerja anggota penyelamat,” ulasnya.

Sehingga jam 12.00 pagi ini, Kemaman merupakan daerah paling terkesan akibat banjir dengan 2,640 keluarga terjejas terdiri daripada 10,734 mangsa di 28 Pusat Pemindahan Sementara di sekitarnya.