• 03 Nov 2024 | 01 Jamadil Awal 1446

SK Kompleks Seberang Takir Berarak Hayati Maulidur Rasul

KUALA NERUS, 19 Oktober - Lebih 800 pelajar termasuk guru Sekolah Kebangsaan Kompleks Seberang Takir (STARS) menyertai perarakan Maulidur Rasul yang diadakan di sini hari ini.

Penolong Kanan Hal Ehwal Murid (PKHEM), Zaharah Mohammad berkata, kesemua mereka terlibat dalam perarakan yang bermula di sekolah dan berakhir di lokasi sama dengan anggaran jarak dua kilometer.

"Selain berarak, tentatifnya ada pertandingan mewarna. Dan jika cuaca yang baik, kita buat ceramah. Ni merupakan acara tahunan sebenarnya tetapi 2 tahun sudah kita tidak meneruskannya akibat PKP baru-baru ini lah.

"Terima kasih kepada ibu-bapa yang sentiasa memberi sokongan kepada kami termasuk PIBG sekolah yang sentiasa bersama-sama dalam perlaksanaan program," ujarnya.

"Harapan saya semoga jalinan antara sekolah dan komuniti di Seberang Takir ni semakin erat dan terima kasih atas sokongan semua pihak," katanya ketika dihubungi pemberita hari ini.

Sementara itu, Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri Seberang Takir, Mohd Fadhil wahab dalam ucapan perasmian berkata, ketibaan Maulidur Rasul SAW saban tahun menjadi detik bermakna kepada seluruh umat Islam untuk memperingati nikmat terbesar pengutusan Nabi Muhammad SAW iaitu penyebaran risalah Islam.

"Bagi menzahirkan kesyukuran atas pengutusan Nabi Muhammad SAW, kita sedaya upaya bertanggungjawab mempertahankan syiar agama, memelihara akidah dan iman, mempamerkan serta mengamalkan akhlak terpuji seperti yang ditunjukkan oleh nabi sepanjang hayat baginda dalam kehidupan seharian, buat la apa-apa program bagi menunjukkan kecintaan kita terhadap baginda," ujarnya lagi

Perarakan diiringi laungan selawat ke atas nabi junjungan SAW yang dipimpin oleh guru-guru menerusi unit bergerak

Turut bersama, beberapa pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) setempat.


Tag: