• 19 Apr 2024 | 10 Syawal 1445

SK Sungai Berua Ibarat Dilanda Tsunami

HULU TERENGGANU, 3 Mac –  Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Berua disini  musnah teruk dan boleh diibaratkan seperti dilanda tsunami  selepas dibadai kepala air ketika banjir melanda daerah itu.

Guru Besarnya, Zaidi A. Ghani berkata, kejadian itu berlaku dengan sekelip mata apabila kesemua barangan dan peralatan di sekolah itu tidak dapat diselamatkan kerana air naik dengan begitu cepat bersama arus deras Ahad lalu. 

“Saya mendapat panggilan daripada kakitangan sekolah memaklumkan air mula naik dan memasuki kawasan sekolah pada jam 3 pagi Ahad lalu dan dalam tempoh lima minit sahaja kepala air yang turun dari bukit berhampiran telah memenuhi semua kawasan ini .

"Sekolah ini ditenggelami air setinggi enam meter. Boleh dikatakan nilai kerugian dialami sama seperti kos untuk membina semula sebuah sekolah baharu," katanya ketika ditemui pemberita di lokasi berkenaan, semalam. 

SK Sungi Berua yang terletak di perkampungan Orang Asli memiliki seramai 70 murid, 11 guru serta dua kakitangan. 

Tambah beliau, anggaran kerugian belum dapat dianggarkan lagi buat masa ini tetapi ia merupakan satu kerugian besar melibatkan harta benda sekolah kerana semuanya tidak dapat diselamatkan.

“Antara kerosakan berlaku melibatkan enam bilik darjah, bilik mesyuarat, pejabat, isolasi stor sukan, makmal komputer, perpustakkan surau, bilik guru dan padang bola. 

“Turut musnah ialah 20 peralatan sekolah dan 30 komputer baharu untuk kegunaan murid yang diperoleh tahun lalu. Sekolah turut dipenuhi sampah-sampah dan kayu-kayu yang dibawa kepala air dari atas bukit," ujarnya. 

Sementara itu, Pegawai Meja Pengurusan Pendidikan Murid Orang Asli Terengganu, Mohd Sanusi Awang@Hamid berkata, pihaknya akan menyediakan laporan terperinci mengenai kerosakan yang berlaku di sekolah itu dan akan panjangkan kepada PPD sebelum diserahkan kepada  Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM)

Namun katanya, fokus utama buat masa ini ialah kerja-kerja pembersihan kawasan sekolah yang akan dibantu Pejabat Pendidikan Daerah (PPD), Jabatan Pendikan Negeri Terengganu (JPNT) dan badan bukan kerajaan (NGO).