KUALA TERENGGANU, 29 Ogos- Pasukan Menembak Terengganu menetapkan sasaran meraih dua pingat Emas untuk dicapai dalam Sukan Malaysia (Sukma) yang akan berlangsung pada 16 September ini.
Ketua jurulatih, Nazihan Harun berkata, pasukannya komited mencapai sasaran ditetapkan dengan mempertaruhkan 25 atlet menerusi 14 acara (26 pingat) yang dipertandingkan.
"Kita meletakkan sasaran dua pingat Emas daripada acara 25M Sport Pistol (men) menerusi gandingan Nik Mohd Luqman Nik Omar, Muhammad Naufal Mohamed Nasir dan Muhammad Nur Rifqi Muhammad Ansarullah Eu Abdullah serta dalam acara 10M Air Raifal (mix) menerusi Ahmad A'zim Aizuddin Mohd Rafii dan Nur Aqasha Damia Abdullah.
"Namun, ada beberapa acara yang kita berpeluang untuk podium antaranya Standard Pistol dan Sport Pistol (women), jika kita beraksi baik mungkin akan membuahkan pingat," katanya ketika ditemui pemberita di Majlis Hi-Tea Bersama Pasukan Menembak Sukma anjuran Primula Beach Hotel di hotel berkenaan, semalam.
Tambahnya, sekalipun SUKMA XIX di Perak pada 2018 menyaksikan pencapaian cemerlang pasukan menembak dengan tiga pingat Emas, lapan Perak dan tiga Gangsa, ia tidak boleh dijadikan ukuran.
"Sebelum ini, kita mengalami kekangan dari segi latihan kerana kita hanya dapat mula berlatih di Lapang Sasar Gong Kuin, Gong Badak ini bermula Jun 2021, jadi tempoh masa yang diberikan agak terhad untuk kita meletakkan sasaran lebih tinggi.
"Lebih-lebih lagi kita juga berdepan cabaran utama daripada Perak dan Pahang.
"Bagi fasa akhir ini, kami baru balik daripada latihan di Mantin selama seminggu, jadi pada peringkat akhir ini kita berlatih lebih santai untuk mengekalkan prestasi atlet sebelum acara bermula pada 18 September," katanya.
Tambahnya, beliau membariskan 10 muka lama dalam Sukma kali ini dengan seramai 14 atlet lelaki dan 11 atlet wanita berumur antara 16 hingga 23 tahun.