• 02 Mei 2024 | 23 Syawal 1445

Skuad Penyelamat Pantai Pulau Kekabu Ditubuh - MB Terengganu

Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.
MARANG, 27 April - Terengganu dengan kerjasama Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Pejabat Daerah Marang dan Majlis Daerah Marang (MDM) telah menubuhkan Pasukan Penyelamat Pantai (Lifeguard) Pertahanan Awam di Pulau Kekabu.

Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, penubuhan skuad itu adalah untuk mengawal, mencegah serta menyelamat mangsa yang mengalami apa jua risiko kemalangan dan kejadian tidak diingini.

Jelasnya, lokasi pesisir pantai Terengganu akan semakin disenangi oleh pengunjung-pengunjung, terutamanya pelancong asing yang gemar dengan aktiviti-aktiviti di laut dan pantai.


“Tentunya bila ada pasukan keselamatan (lifeguard), terutamanya di 49 lokasi di Malaysia (termasuk tiga di Terengganu) akan membantu mengurangkan kemalangan jiwa di kawasan rekreasi.

“Kita mengharapkan dengan kewujudan 20 orang ‘lifeguard’ di Pantai Kekabu ini, pengunjung-pengunjung akan berasa selamat dan yakin untuk membawa keluarga masing-masing berkelah di tepi pantai,” ujarnya.


Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Majlis Perasmian Pasukan Penyelamat Pantai (Lifeguard) APM Terengganu di Pantai Pulau Kekabu, di sini hari ini.

Turut hadir, Ketua Pesuruhjaya APM, Datuk Roslan Wahab, Pegawai Daerah Marang, Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak, Yang Dipertua MDM, Huzairil Nizam Ibrahim serta Pengarah APM Terengganu, Kol. (Pa) Che Adam A. Rahman.

Ahmad Samsuri turut memberi keyakinan bahawa penubuhan pasukan penyelamat itu akan turut diaktifkan di lokasi-lokasi lain yang menerima pengunjung-pengunjung dari pelbagai tempat.

Tambah beliau lagi, skuad itu tidak hanya tertumpu di kawasan pantai semata-mata, sebaliknya pasukan itu akan meliputi seluruh tempat rekreasi yang menjadi tumpuan pengunjung termasuk Santuari Kelah di Kenyir.

“Insya-Allah kita pun menjangkakan bahawa bukan sekadar di Pulau Kekabu ini, tetapi juga akan diperluaskan di tempat-tempat lain di seluruh negeri Terengganu.

“Yang kita lihat ada potensi, tempat yang cantik, pasir yang putih bersih, kita akan bincang dengan APM dan agensi yang terlibat untuk cari dan tambah pasukan ini di tempat berkenaan,” tambah beliau.

Untuk rekod, dua lagi lokasi yang mempunyai skuad 'Lifeguard' di Terengganu ialah Pantai Bukit Kluang, Besut dan Pantai Taman Laut, Pulau Redang, Kuala Nerus.



Tag: