• 06 Mei 2024 | 27 Syawal 1445

Skuad Upaya, Cetus Semangat OKU Bantu Golongan Senasib

MARANG, 24 Oktober - Skuad Upaya di bawah Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan PAS Pusat kini sedang bergiat aktif dalam melakukan kerjasama bagi membantu golongan senasib sekali gus mencetuskan semangat Orang Kelainan Upaya (OKU) untuk meneruskan kehidupan bersama-sama komuniti.

Golongan OKU ini perlu diberi perhatian khusus kerana ujian yang mereka lalui berbeza dan tidak sama seperti orang lain yang boleh menguruskan diri sendiri tanpa bantuan orang lain.

Pegawai Khas Pusat Khidmat Masyarakat Ahli Dewan Undangan Negeri Rhu Rendang, Nasaruddin Samsudeng berkata, selepas melihat gerak kerja dan kesungguhan mereka dalam aktiviti kebajikan serta sukarelawan melibatkan OKU, pihak PKM telah menyusun beberapa program untuk membantu golongan ini di kawasan Rhu Rendang.

"Di Rhu Rendang, aktiviti kebajikan memang giat dijalankan dan kita juga sering mengunjungi golongan OKU, sama ada dilahirkan OKU atau baru berstatus OKU atas sebab-sebab tertentu seperti kemalangan, sakit kronik dan sebagainya," katanya.

Menurutnya lagi, idea untuk berkerjasama dengan Skuad Upaya ini adalah bagi menyalurkan bantuan bukan sahaja dari segi fizikal malah mental itu sendiri, iaitu spiritual atau semangat untuk meneruskan kelangsungan hidup mereka.

"Memang berbeza apabila mereka diziarahi oleh golongan seperti mereka sendiri, semangat dan hubungan yang dicipta pun berbeza kerana mereka ini senasib serta lebih mengenali dan memahami antara satu sama lain," katanya dalam satu kunjungan ke rumah penduduk cacat penglihatan di Taman Rahmat bersama-sama Skuad Upaya.

Ujarnya lagi, PKM juga melihat lebih jauh hasrat untuk penubuhan Skuad Upaya Kawasan Marang sebagai badan yang boleh menerajui aktiviti dan bantuan di samping mendekati golongan ini.

"Sebelum ini, beberapa golongan OKU di kawasan Rhu Rendang telah dikunjungi oleh PKM dan Skuad Upaya di mana ada di antara mereka yang bersetuju untuk ditempatkan dalam golongan cacat penglihatan seperti Persatuan Orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (PERTIS).

"Di pusat seperti ini, mereka juga boleh mempelajari ilmu al-Quran dan pengetahuan lain mengikut cara-cara tertentu seperti kaedah Braille serta lain-lain lagi," tambahnya lagi.

 


Tag: