• 27 Apr 2024 | 18 Syawal 1445

SMK Kuala Besut Buktikan Anak Terengganu Hebat

Pasukan SMK Kuala Besut bergambar bersama replika cek selepas menerima insentif itu di Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Peringkat Wisma Darul Iman Tahun 2018M/1439H anjuran Kelab Wisma Darul Iman di Dewan Besar, Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu. Foto oleh Tengku Syamim Tengku Ismail

Tiada yang mustahil dalam hidup. Rakyat Terengganu boleh dan mampu mencapai yang terbaik bukan sahaja untuk diri kita sendiri, tetapi juga untuk Negeri Terengganu, kata Menteri Besar, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar.

Menurutnya, kejayaan di peringkat dunia yang dicapai pasukan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kuala Besut yang merangkul johan dalam Pertandingan Pembangunan Sumber Manusia Untuk Tenaga Nuklear di Korea Selatan pada Mei lalu, membuktikan kehebatan anak Terengganu yang membanggakan negeri dan juga negara sekali gus mampu menjadi perangsang kepada pelajar lain untuk bersaing bersama bangsa asing di pentas antarabangsa.


"Kejayaan gemilang ini bukan hanya boleh dicapai dalam pelajaran, malah juga di bidang lain yang kita mahu terokai asalkan ada keyakinan serta kemahuan yang tinggi.

“Saya juga sebagai rakyat Terengganu pernah mencipta kejayaan di peringkat dunia 10 tahun dahulu apabila memenangi pertandingan reka cipta yang bukan biasa-biasa, tetapi reka cipta terhadap komponen pesawat kapal terbang di Rusia,”katanya di Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Peringkat Wisma Darul Iman Tahun 2018M/1439H anjuran Kelab Wisma Darul Iman di Dewan Besar, Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, hari ini.

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’A. Rahman Yahya, barisan Exco negeri serta pegawai kanan kerajaan negeri.


Beliau mengulas demikian susulan kejayaan pasukan pelajar dan guru Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kuala Besut yang merangkul Johan Dunia:Third International Conference On Human Resource Development For Nuclear Power Programmes : Meeting Challenges To Ensure The Future Nuclear Workface Capability di Gyougju, Korea pada 28 hingga 31 Mei lalu.

Di majlis itu, kerajaan negeri turut  menyampaikan insentif berupa wang tunai RM1,000 kepada semua peserta berkenaan, iaitu Muhammad Syazwan Mat Sidik dan Muhammad Anuar Ag Ghani, masing-masing berusia 17 tahun serta Safyyah Muhammad Nasir, 16 dan dua guru, Wan Zul Azri Wan Mod Shatar serta Rohaya Hussin, sebagai menghargai kejayaan pasukan itu.

Dalam pada itu, sambutan hari raya yang bermula dari jam 9 pagi menyajikan pelbagai juadah istimewa kepada tetamu turut meraikan 100 pelajar di lima sekolah rendah sekitar Kuala Terengganu apabila menerima duit raya daripada menteri besar dan juga isteri.




Tag: