• 24 Apr 2024 | 15 Syawal 1445

SMK Tengku Mahmud Cipta Kertas Daripada Batang Pisang

BESUT, 1 September - Lima orang pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Mahmud yang mencipta kertas daripada batang pokok pisang mendapat pengiktirafan dunia apabila memenangi Pertandingan Inovasi T'the 7Th International Invention Inovation Competition In Canada (ICAN 2022).

Guru Pembimbing pelajar terbabit, Taksiah Yaakun berkata, dua anugerah telah diperolehi melalui inovasi itu iaitu International Special Award World Invention Intellectual Property Associations (WIIPA) dan Best Young Inventors ICAN 2022.

Katanya, cetusan idea itu terhasil selepas melihat hutan dan kawasan tadahan hujan perlu diselamatkan daripada terus mengalami kemusnahan begitu sahaja.

"Setelah melihat pokok pisang yang selama ini ditebang untuk diambil buahnya sedangkan batangnya dibuang begitu sahaja, maka kami terfikir cara untuk hasilkan produk yang baru dan mendatangkan kehunaan kepada manusia serta dapat menyelamatkan dunia daripada pencemaran.

"Saya dimaklumkan 200 negara telah mengambil bahagian, dan alhamdulillah kami merasa bangga dengan kejayaan yang telah kami capai di peringkat antarabangsa ini yang mana ini merupakan kali ketiga kami menyertai pertandingan seumpama ini di peringkat tertinggi seperti ini," ujarnya.

 

Beliau berkata demikian kepada pihak Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), ketika menerima kunjungan Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia dan Hal Ehwal Penjaja Negeri, Mohd Nur Khuzaini A.Rahman, di sini baru-baru ini.

Mengulas lanjut katanya, sejak idea itu tercetus bermula tahun 2019 pihaknya sentiasa melakukan penambahbaikkan.

"Kami sentiasa berfikir bagaimana untuk meningkatkan inovasi ini sehingga dapat menghasilkan produk yang sangat bagus, kami mencipta pelbagai produk seperti patung wayang kulit, menghasilkan kotak, bunga kertas, kertas warna dan sebagainya.

"Pelajar ini kami pilih dari kalangan mereka yang boleh berkomunikasi dalam bahasa Englis dengan baik serta mempunyai kreativiti yang boleh kami ketengahkan," ujarnya.

Sementara itu, Nurkhuzaini mengakui teruja dan tertarik dengan hasil inovasi yang dicipta oleh pelajar terbabit dan pihak kerajaan negeri berbangga atas pencapaian tersebut.

"Kalau selama ini jika kita hendak hasilkan kertas terpaksa tebang pokok hutan, jadi kita akan melihat sejauh mana perkara ini boleh dikembangkan dan jika sekiranya ada ruang dan peluang untuk ia dikomersialkan, pihak kerajaan akan mejadi pemudahcara.

"Saya tengok apa yang dipamerkan tadi banyak perkara boleh dbuat seperti 'key chain', dapat buat bendera, ia merupakan suatu perkembangan yang baik hutan pun selamat, kerana pokok pisang ini bukan kategori pokok hutan," ujarnya lagi.