• 19 Apr 2024 | 10 Syawal 1445

Solat Hajat Dijauhi Banjir Besar

DUNGUN, 6 Januari - Penduduk Hulu Dungun diseru untuk melakukan solat hajat dan berdoa ketika ini agar daerah itu dijauhi daripada banjir besar.

Seruan itu dibuat Pegawai Penyelaras DUN Bukit Besi, Ghazali Sulaiman yang mengharapkan solat hajat dapat diadakan di seluruh masjid di kawasan berkenaan bagi memastikan bencana banjir yang berlaku ketika ini tidak berterusan dan bertambah buruk.

"Paras air semakin meningkat dan menyebabkan penduduk yang telah dibenarkan pulang tetapi kini terpaksa kembali semula ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS)," ujarnya kepada pemberita selepas meninjau PPS Dewan Orang Ramai Kampung Pasir Raja dan Dewan Serbaguna Kampung Shukor, hari ini. 

Turut hadir, Ahli Parlimen Dungun, Wan Hassan Mohd Ramli.

Selain itu, Ghazali turut mengharapkan seluruh mangsa banjir tidak mengambil mudah setiap arahan pihak berkuasa.

"Apabila arahan berpindah dikeluarkan, semua pihak hendaklah mengambil langkah segera agar berpindah," ujarnya.

Difahamkan, sehingga pukul 4 petang tadi, seramai 247 mangsa daripada 78 keluarga di tempatkan di tiga PPS di Dungun iaitu Dewan Orang Ramai Kampung Pasir Raja, Gewan Serbaguna Kampung Shukor dan Dewan Orang Ramai Kampung Minda.

 

 

 

 

 


Tag: