lightning-solid
Berita :
Songket Terengganu Rasmi Berdaftar Sebagai Petunjuk Geografi
Songket Terengganu Rasmi Berdaftar Sebagai Petunjuk Geografi
Noraini Jusoh
20 Nov 25
46

KUALA TERENGGANU, 20 NOVEMBER – Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) telah menyerahkan sijil pendaftaran petunjuk geografi bagi Songket Terengganu di bawah Yayasan Tuanku Nur Zahirah (YTNZ). 

Penyerahan disempurnakan Ketua Pengarah MyIPO, Yusnieza Syarmila Yusof kepada Pengerusi YTNZ, Yang Amat Mulia Tengku Puteri Utama Raja di Dewan Azzahra, Istana Sharqiyyah, semalam.

MyIPO dalam satu kenyataan memaklumkan, petunjuk geografi adalah salah satu daripada komponen harta intelek yang istimewa kerana dapat dikaitkan dengan nama tempat di mana produk petunjuk geografi itu dihasilkan. 

"Sesuatu produk petunjuk geografi mempunyai kualiti dan reputasi yang boleh dikaitkan dengan kawasan berkenaan. 

"Petunjuk geografi juga boleh ditampilkan sebagai 'jenama negeri atau negara' yang membawa kemasyurannya yang tersediri, apatah lagi jika ada unsur warisan atau naungan diraja atau kesultanan," ujar kenyataan itu.

Menurut kenyataan tersebut, songket Terengganu menepati ciri-ciri yang membolehkan ia didaftarkan sebagai petunjuk geografi kerana kualiti dan reputasinya yang boleh mengaitkan ia dengan tempat asal usul, iaitu negeri Terengganu.

"Dikenali dengan kehalusan seni dan kemahiran tukang tenun, songket ini bukan sahaja mencerminkan keindahan budaya dan tradisi Melayu, tetapi juga melambangkan status sosial pemakainya. 

"Songket ini dihasilkan melalui proses tenunan yang rumit dan memerlukan kesabaran, ketelitian, serta kemahiran tinggi," jelasnya.

Ujar kenyataan itu, antara lain faedah pendaftaran produk tempatan seperti Songket Terengganu sebagai petunjuk geografi ialah pemeliharaan budaya dan warisan tempatan daripada dieksploitasi oleh pihak luar.  

"Dengan adanya sistem yang baik di bawah perlindungan petunjuk geografi, industri seperti eko pelancongan mahupun permintaan terhadap produk kraf tempatan akan dapat dipertingkatkan dan seterusnya akan menggembleng penyertaan komuniti setempat dalam menjana ekonomi. 

"Malah produk di bawah petunjuk geografi berpotensi besar untuk dipasarkan ke luar negara berdasarkan ciri-ciri yang dinyatakan dan menjadi pilihan mana-mana negara eksport kerana ia dilindungi di bawah undang-undang harta intelek," jelasnya.

Untuk rekod, Negeri Terengganu kini mempunyai lapan produk yang didaftar di bawah petunjuk geografi antaranya, keropok lekor Terengganu, nasi dagang Terengganu, batik Terengganu dan tembaga Terengganu.
Manakala secara keseluruhannya sebanyak 110 produk negara ini telah didaftar sebagai petunjuk geografi.



Tag :

Artikel Berkaitan