SOP Bukan Untuk Menyusahkan
Oleh: Rohayati Ripin
MARANG, 21 Januari - Pelaksanaan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan oleh kerajaan bukan untuk menyusahkan rakyat, tetapi bagi membendung penularan pandemik COVID-19 daripada makin berleluasa.
Mufti Terengganu, Dato’ Dr. Zulkifly Muda berkata, SOP yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan juga Majlis Keselamatan Negara (MKN) perlu dipatuhi kerana ia melibatkan nyawa manusia.
“Saya tidak bersetuju dengan (pengkritik) perkara itu, sebab SOP bukan berhasrat untuk menyusahkan tapi menyelamatkan nyawa kita daripada terjebak dengan penyakit yang dipanggil COVID-19 ini,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak media selepas Maljis Perasmian Surau Al- Ikhsan Kampung Che Hassan, Kampung Gelugur Kedai, baru-baru ini.
Turut hadir, Yang Dipertua (Speaker) Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, Dato’ Yahaya Ali.
Ketika ditanya mengenai ada pihak tidak bersetuju dengan pematuhan SOP yang dikuatkuasakan di rumah ibadah seperti masjid dan surau, menurut Dr Zulkifly, pihak berkuasa agama negeri patuh pada arahan yang dikeluarkan oleh pihak atasan yang lebih berautoriti.
“Saya difahamkan sehingga hari ini tidak ada lagi kluster daripada masjid yang terlibat dengan COVID-19, alhamdulillah.
“Ini menunjukkan orang Islam memang memberi komitmen sepenuhnya pada SOP yang disarankan pihak berkuasa,” jelasnya.
Justeru itu, beliau berharap agar masyarakat akur dengan arahan yang ditetapkan oleh pihak kerajaan bagi melindungi diri dan masyarakat dari wabak yang merbahaya.
“Kalau kita tak mengikut SOP itu, ada percanggahan dengan syariat itu sendiri yang suruh kita berusaha untuk menghindarkan daripada penyakit,” ujarnya.
Sementara itu, kata Dato’ Dr Zulkifly lagi Majlis Fatwa Kebangsaan telah mengeluarkan satu penetapan bahawa vaksin untuk COVID-19 adalah harus digunakan.
“Kalau sekiranya ada pihak-pihak yang telah diwajibkan oleh pihak berkuasa untuk menggunakan vaksin ini, mereka pun diwajibkan menggunakan vaksin tersebut.
“Tetapi asasnya adalah harus dan pada pandangan saya bila meneliti fatwa-fatwa negeri lain selain daripada Terengganu, maksud saya (fatwa) luar negara mereka juga sependapat dengan pendapat saya.
“Jadi kalau perkara itu baik, apa salahnya kita ambillah (vaksin) itu demi kebaikan,” jelasnya.