Royalti Petroleum : Kerajaan Perpaduan Lebih Teruk Daripada Kerajaan PH
'SOP' Cegah Wabak Ikut Syariat
Oleh : Rohayati Ripin
KUALA TERENGGANU, 23 Januari - Mufti Terengganu, Dato’ Dr Haji Zulkifly Muda menafikan dakwaan berkenaan penjarakan fizikal yang disarankan oleh pihak berautoriti termasuk ketika beribadah di masjid dikatakan mengikut amalan dan arahan musuh Islam seperti Yahudi dan Kristian.
Katanya, ia adalah tidak benar sama sekali kerana penjarakan yang dilakukan adalah usaha dan ikhtiar untuk menghindarkan diri daripada merebaknya penyakit virus COVID-19 daripada terus menular.
"Kita ada tiga kategori, yang pertama akidah, yang kedua syariah dan ketiga akhlak atau tasawwur. Akidah itu datang semuanya daripada Allah dan kita tak dapat nafikan perkara itu.
"Tetapi dari segi syariat, patuh yang kita lakukan di antaranya kita berusaha untuk lari dari penyakit seperti yang disarankan oleh Nabi Muhammad SAW, 'kamu
hendaklah lari dari penyakit kusta sebagaimana kamu lari daripada singa', Itu adalah usaha," jelasnya ketika ditemui selepas menandatangani perasmian Surau Al- Ikhsan Kampung Che Hassan, Kampung Gelugur Kedai, Marang, baru-baru ini.
Katanya, penjarakan fizikal adalah usaha yang berteraskan kepada syariat (Islam).
Sementara itu, kata Dr Zulkifly masih ramai lagi yang keliru dengan dakwaan yang mengatakan penyakit COVID-19 ini berpunca daripada penyakit yang sengaja diwujudkan.
"Tidak ada bukti yang kukuh, sebab kalau kita kata perkara itu daripada (perbuatan) Yahudi, sedangkan negara Israel sendiri lebih kena penyakit ini.
"Kalau mereka rancang kenapa rakyat mereka sendiri kena. Kalau Yahudi rancang kenapa orang Yahudi yang kena. Jadi tidak ada bukti perkara itu," ujarnya.
Justeru itu, kata beliau, anggaplah ini (COVID-19) satu pendemik yang perlu diusahakan (ubat) supaya rakyat seluruh dunia terselamat dari wabak yang berbahaya ini.