• 23 Apr 2024 | 14 Syawal 1445

SOP Masjid, Surau Masih Kekal

KUALA TERENGGANU, 4 November - Terengganu masih mengekalkan Prosedur Operasi Standard (SOP) lama di semua masjid dan surau di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd Nor Hamzah berkata, pihaknya yakin SOP yang menekankan penjarakan 1 meter, mereka yang bergejala dilarang hadir dan khutbah Jumaat dipendekkan sudah memadai.

Katanya, pada masa yang sama jemaah masjid mudah mematuhi SOP kerana mereka tidak hadir dalam kumpulan ramai.

"Sekiranya ada pihak yang mahu mengadakan majlis tahlil atau kesyukuran, digalakkan untuk membungkus dan membawa pulang hidangan, bukannya makan di masjid.

"Kita perlu sentiasa peka dengan arahan Majlis Keselamatan Negara dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KMM), sekiranya ada SOP baru, pastinya Terengganu akan patuh," katanya.

Beliau berkata demikian selepas mewakili Menteri Besar merasmikan Majlis Pelancaran Kempen Pembudayaan Norma Baharu, di Wisma Darul Iman, di sini hari ini.

Mohd Nor turut memberitahu, kerajaan melalui Jabatan Penerangan Negeri Terengganu (JPNT) telah melaksanakan Info On Wheels (IOW) dan  Program Sepakat @ Komuniti membabitkan kira-kira 50,000 masyarakat di seluruh Terengganu.

Katanya, hebahan IOW dilaksanakan melalui melalui pembesar suara dan kekerapan secara purata sebanyak 20 kali sebulan.

"Manakala Program 'Sepakat @ Komuniti' yang melibatkan kerahan masyarakat setempat dengan kehadiran maksimum 200 peserta di setiap Dewan Undangan Negeri.

"Hebahan bukan sahaja melibatkan kawasan bandar tetapi juga di pedalaman, kawasan Orang Asli dan kawasan tumpuan ramai," katanya.
 

 


Tag: