• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

SOP PKPB Di Terengganu Berpandu MKN

KUALA TERENGGANU, 7 November - Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di seluruh Terengganu bermula Isnin ini akan dikuatkuasakan mengikut prosedur operasi standard (SOP) sedia ada.

Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, sebarang perubahan terhadap garis panduan tersebut akan dibuat mengikut keadaan.

"Garis panduan atau SOP adalah berdasarkan arahan sedia ada pihak Majlis Keselamatan Negara (MKN) seperti diumumkan, namun akan dikemaskini berdasarkan situasi semasa. 

"Oleh itu, rakyat dinasihatkan untuk terus mematuhi arahan dan sentiasa mengikuti perkembangan terkini daripada Kerajaan Negeri dan MKN," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaacob memaklumkan, (PKPB) kini diperluaskan ke tujuh negeri termasuk Terengganu bermula 9 November hingga 6 Disember.

"Atas nasihat Kementerian Kesihatan (KKM) PKPB dilaksanakan di seluruh negeri semenanjung kecuali Pahang, Perlis dan Kelantan bagi membolehkan saringan bersasar untuk mengekang pandemik COVID-19," jelasnya.

Menurut Ismail Sabri, pergerakan keluar masuk atau merentas negeri tidak dibenarkan kecuali bagi kes kecemasan dan perlu mendapat kebenaran polis.

“Bagi pekerja yang perlu merentas daerah, mereka perlu menunjukkan pas kerja atau surat kebenaran majikan. Hanya 2 orang sahaja dari rumah dibenarkan keluar untuk membeli barangan keperluan.

“Manakala, individu berisiko tinggi dan kanak-kanak tidak digalakkan keluar ke kawasan awam, terbuka dan sesak. Semua sekolah, institusi pengajian tinggi, institut latihan kemahiran, tadika, taska, pusat tahfiz ditutup,” katanya.


Tag: