• 24 Jul 2024 | 17 Muharam 1446

'Spin' Kenyataan MB, Media Ditekan Tangan Ghaib?

Semalam tular beberapa berita memaparkan tajuk dan konteks laporan yang salah berkait kenyataan Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar tentang kenaikan harga diesel.

Alhamdulillah, semakan semula hari ini terhadap berita-berita itu mendapati tajuk dan konteks sebenar telah diubah walaupun masih ada bibit-bibit untuk menampakkan Ahmad Samsuri menyokong tindakan menaikkan harga diesel di saat rakyat terbeban dengan kos sara hidup.

Berbalik kepada penyelewengan berita, sebaik keluar laporan salah tersebut, Ahmad Samsuri menerusi ruangan Facebooknya telah menerbitkan satu kemaskini yang memaparkan berita 'Bukan Masa Tepat Untuk Naikkan Harga Diesel' dengan kapsyen 'apa sahaja tindakan yang dibuat, perlulah ada data dan kajian berkesan bagi mengurangkan impak kepada rakyat'.

Ini sekali gus mengesahkan bahawa tajuk berita 'Penyasaran Subsidi Diesel Langkah Tepat, Berani' adalah tersasar jauh daripada maksud asal Ahmad Samsuri.

Semakan juga telah dibuat pada video asal kenyataan Menteri Besar (MB), memang benar laporan berita memutar belit kenyataan MB.

Ketika ditanya wartawan, tentang penarikan subsidi diesel MB berkata, 'di saat rakyat terbeban dengan kos sara hidup, ini bukan masa terbaik, kena cermat dan bukan kajian sebelum melaksanakan tindakan ini', tetapi media melapor 'penyasaran subsidi diesel langkah tepat dan berani - MB Terengganu'.

Ahmad Samsuri juga menyebut, 'secara dasarnya semua (PM) bersetuju dengan penyasaran subsidi minyak kerana demi mengelakkan ketirisan, tetapi perlu dibuat berdasarkan kajian dan dengan cermat...', jawapan ini merujuk kepada soalan wartawan yang berbunyi, 'apa pandangan MB, apabila Datuk Seri Anwar (Ibrahim) berkata PM-PM sebelum ini pun setuju nak buat rasionalisasi subsidi, tapi tak berani'.

Jelas jawapan bersetuju ini berkait dengan persetujuan PM terdahulu dengan langkah rasionalisasi subsidi, bukan MB bersetuju dengan tindakan PM hapus subsidi ketika ini.

Di pihak rakyat pula, ramai tidak berpuas hati dengan laporan berita tersebut yang didakwa seolah-olah mahu menjatuhkan reputasi beliau di saat rakyat sangat marah dengan kenaikan harga diesel.

Hasil semakan juga mendapati berita asal yang ditulis wartawan di lokasi jauh berbeza dengan apa yang diterbitkan.

Seolah-olah apa pihak yang sengaja menukar konteks berita tanpa pemakluman.

Jika benar, ini adalah budaya tidak sihat yang makin mengcengkam pihak media, wujud 'tangan ghaib' mengatur naratif jahat bagi memberi keuntungan kepada pihak tertentu.

Lama-kelamaan jika ini berterusan, media sudah tidak lagi bebas, kita semua akan berada di dalam 'penjara' dan ditekan agar menuruti kehendak pihak tidak bertanggungjawab ini.

Kelab Wartawan perlu bangkit bersatu keberanian menyatakan bantahan bagi membela nasib wartawan di bawah jika merasa penganiayaan ini tidak sepatutnya berlaku.

Lidah Pengarang.


Tag: