Berita :
SPM 2025 Cemerlang, MB Ucap Tahniah Kepada Semua Pihak
SPM 2025 Cemerlang, MB Ucap Tahniah Kepada Semua Pihak
Ahmad Zaeem Zainudin
2 jam yang lepas
107

KUALA TERENGGANU, 31 Mac - Menteri Besar, Dato' Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar mengucapkan syabas atas kejayaan memberangsangkan daripada hasil usaha calon Terengganu dalam pencapaian Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 yang telah diumumkan hari ini.

"Tahniah dan syabas diucapkan kepada semua calon SPM 2025 Negeri Terengganu yang mendapat keputusan yang cemerlang dan membanggakan. Semoga kejayaan ini menjadi pemangkin kepada kecemerlangan berterusan dalam pendidikan kalian.

"Teruskan berusaha dan kejarlah cita-cita dengan penuh iltizam. Semoga setiap daripada kalian diberi kejayaan yang berpanjangan dan mampu menyumbang kepada agama, bangsa dan negara," katanya.

Beliau menyifatkan kejayaan tersebut sebagai bukti keberkesanan kerjasama erat antara semua pihak dalam membentuk kecemerlangan pendidikan negeri.

Menurutnya, pencapaian cemerlang yang direkodkan bukan sahaja milik pelajar semata-mata, tetapi turut didorong oleh komitmen guru, sokongan ibu bapa serta peranan berterusan pelbagai pihak bagi pencapaian itu.

"Sekalung penghargaan dan terima kasih juga buat semua pihak termasuk para guru, ibu bapa dan semua pihak yang sentiasa memberi sokongan dan dorongan kepada kejayaan anak-anak ini," ujarnya.

Berdasarkan keputusan yang diumumkan, seramai 591 calon di Terengganu berjaya memperoleh keputusan semua A, meningkat berbanding 532 calon pada tahun sebelumnya, sekali gus mencatatkan pencapaian terbaik dalam tempoh 10 tahun.

Prestasi keseluruhan negeri menunjukkan peningkatan apabila Gred Purata Negeri (GPN) melonjak kepada 4.17 berbanding 4.31 pada tahun 2024, mengatasi purata kebangsaan iaitu 4.42 dengan jurang perbezaan sebanyak -0.25.

Dalam masa sama, Dr. Samsuri tidak melupakan calon yang kurang bernasib baik serta menasihatkan golongan tersebut untuk terus berusaha dan tidak berputus asa dalam mengejar kejayaan pada masa hadapan.

"Buat anak-anak yang tidak mendapat keputusan seperti diharapkan, jangan berputus asa. Masih banyak ruang dan peluang untuk berjaya," pesannya.


Ketupat

Artikel Berkaitan