SPM Titik Permulaan Kehidupan Baru
KUALA NERUS, 8 Februari - Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tidak seharusnya dianggap sebagai peperiksaan pendidikan terakhir namun perlu dilihat sebagai satu titik mula kehidupan baru yang lebih mencabar setelahnya.
Menjelaskan kenyataan tersebut, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tepoh Hishamuddin Abdul Karim menyifatkan peperiksaan awam tersebut yang bakal ditempuhi juga merupakan sebagai saat penting dalam menentukan hala tuju masa hadapan para pelajar.
"Ini bukan titik akhir namun anggaplah ia sebagai pemula kehidupan baru menempuhi cabaran yang pelbagai setelahnya.
"Contohnya, kitaran kehidupan dari sudut ekonomi, jadi siapa lagi yang diharapkan untuk mendokong sektor negeri ini selain dari remaja belia yang cekap, bijak dan berpengetahuan untuk mengawal keseluruhan kitaran yang ada di sekeliling ini," katanya.
Beliau berkata demikian kepada para pelajar dan tetamu undangan ketika menyempurnakan perasmian penutup Tuisyen Rakyat di Dewan Felda Ehsan Wilayah Kelmarin, baru-baru ini.
Tambahnya lagi, ilmu yang dipelajari juga mempunyai kuncinya iaitu setiap pelajar haruslah memiliki sifat jujur dan amanah.
"Namun, apabila kedua-dua sifat tersebut tidak dipraktikkan, tiadalah nilai sebenar ilmu tersebut dan tidak mustahil akan mudah terlibat dengan rasuah dan salah guna kuasa.
"Generasi akan datang diharapkan menjadi generasi berilmu, berpengetahuan, beramanah dan menjadi generasi yang memiliki tanggungjawab yang tinggi kepada Allah dan juga manusia," katanya lagi yang juga Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri.
Beliau turut berpesan agar para pelajar menjadikan keputusan yang bakal diperolehi kelak sebagai satu titik permulaan bagi sebuah kehidupan yang jauh lebih mencabar pada masa akan datang, bukannya titik pengakhiran dalam kehidupan adik-adik.
Untuk pengetahuan, program tuisyen rakyat kali DUN Tepoh tahun ini dibaratkan seperti tuah buat para pelajar SPM kerana diadakan sebuah universiti terkemuka di Terengganu di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) Gong Badak, sekaligus memberi peluang kepada anak-anak pelajar merasai suasana dewan belajar di menara gading.