• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

SPNB Bina 248 Unit RIR Di Kuala Ping

Ahmad Razif bersama penduduk menjamu selera

Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) akan membina 248 unit Rumah Idaman Rakyat (RIR) di Kampung Kuala Ping, Hulu Terengganu, dalam tempoh terdekat.

Projek di kawasan lapan hektar itu melibatkan rumah teres setingkat dengan tawaran harga serendah RM68,000 sehingga RM277,000 seunit.

Pengerusi SPNB,Datuk Dr Abd Latiff Ahmad berkata, projek yang dilaksanakan dengan kerjasama kerajaan Terengganu itu sebagai matlamat memenuhi keperluan perumahan rakyat dengan tanah disediakan oleh kerajaan, manakala SPNB membangunkan RIR berkenaan.

" SPNB turut giat mendapatkan tanah di beberapa negeri bagi membina lebih banyak RIR dan bersedia membina rumah sama di negeri pembangkang  sekiranya ditawarkan tanah untuk berbuat demikian.

"Pihak kami pernah membuat tawaran di Pulau Pinang tetapi syarat yang dikenakan cukup ketat sehingga menyukarkan pihak kami membantu Bumiputera di negeri itu," katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Pelancaran Projek Perumahan RIR di Kuala Ping, Hulu Terengganu, hari ini.

Projek itu dilancarkan Menteri Besar, Dato' Seri Ahmad Razif Abd Rahman.

Abd Latif memberitahu, berlainan di Terengganu di mana kerjasama yang diberikan sama ada di peringkat pemimpin negeri dan pertadbiran kerajaan negeri  sangat mudah.

"Faktor itu, Terengganu adalah negeri yang paling banyak menerima rumah RIR iaitu sebanyak 2,151 unit RIR dalam tempoh tiga tahun, di mana pembinaan bermula tahun lalu," katanya.

 Projek itu melibatkan  bilangan 1,403 unit RIR di Kertih, Kemaman, diikuti  Kuala Ping, Hulu Terengganu (248),  Tok Jembal Kuala Nerus (271) dan Santong, Dungun dengan  bilangan 229 unit RIR.

Tag: