• 27 Apr 2024 | 18 Syawal 1445

SPR Bersedia Hadapi PRU14


Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sudah bersiap sedia mengendalikan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) jika kerajaan memilih untuk membubarkan Parlimen pada bila-bila masa sahaja.

Pengerusinya, Dato’ Seri Mohd Hashim Abdullah berkata, ianya tidak menjadi masalah kepada kakitangan dan petugas SPR yang sentiasa bersedia kerana menguruskan proses pilihan raya merupakan tugas utama badan itu.

 “Selepas pembubaran dibuat dan bila diterima notis daripada Speaker Dewan Rakyat, mesyuarat khas akan diadakan untuk menetapkan tarikh penting dalam proses pilihan raya contohnya tarikh penamaan calon, pilihan raya awal, pengundian awal dan pengundian sebenar barulah SPR dapat melaksanakan PRU-14.

“Selagi Dewan Undangan Negeri dan Dewan Rakyat tidak dibubarkan, ianya masih dalam teka teki kerana kuasa membubar terletak kepada Perdana Menteri,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada program Pengerusi SPR Bersama Usahawan Muda di Dewan Kovensyen, Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU), hari ini.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif YPU, Dr Tengku Khairi A. Rahman.


Dalam perkembangan lain katanya, seramai 4.06 juta rakyat negara ini yang layak berdaftar sebagai pengundi belum berbuat demikian.

“Kira-kira 18 juta rakyat negara ini yang berusia 21 tahun ke atas layak mengundi. Namun bilangan terkini yang berdaftar sebagai pengundi ialah kira-kira 14 juta.

"Angka ini dianggap membimbangkan kerana jumlahnya besar dengan kebanyakannya terdiri daripada golongan muda," ujarnya.

Sehubungan itu, Mohd Hashim berkata, SPR akan mengambil langkah mengadakan kempen secara lebih agresif untuk mendidik dan memberi kesedaran kepada masyarakat mengenai kepentingan mendaftar sebagai pemilih dan keluar mengundi.

Beliau turut meminta setiap rakyat yang telah mendaftar sebagai pengundi agar serius menjalankan kewajipan dengan keluar mengundi semasa hari pilihan raya.

Katanya, ini berikutan pihaknya mendapati peratusan yang keluar mengundi dalam pilihan raya tidak pernah mencecah 100 peratus atau lebih 90 peratus melainkan sekitar 70 hingga 75 peratus sahaja.

Tag: